Telefon Messi, Ronaldo bernilai RM48,000

Telefon Messi, Ronaldo bernilai RM48,000

New York: Pengeluar telefon pintar mewah, Caviar melancarkan koleksi edisi terhad Legends yang memberi penghormatan kepada dua ikon bola sepak dunia, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, sempena berakhirnya Piala Dunia 2026.

Koleksi eksklusif itu dihasilkan bersempena apa yang dijangka menjadi penampilan terakhir kedua-dua legenda berkenaan di pentas Piala Dunia.

Caviar memperkenalkan dua telefon pintar premium yang dihiasi karya seni enamel buatan tangan serta saduran emas 24 karat, dengan setiap model dihasilkan dalam jumlah hanya 19 unit di seluruh dunia.

Edisi Messi menggunakan asas telefon pintar Samsung Galaxy Z Fold 8 Ultra, dengan bahagian belakang memaparkan potret kapten Argentina menggunakan teknik enamel cloisonne dalam warna putih dan biru muda.

Rekaan itu turut menampilkan jersi nombor 10, lambang kebangsaan Argentina serta kemasan emas 24 karat pada bingkai dan perincian utama telefon.

Sementara itu, edisi Ronaldo dibina berasaskan iPhone 17 Pro dan iPhone 17 Pro Max, lengkap dengan potret bintang Portugal menggunakan warna merah dan hijau, selain nombor ikonik tujuh serta lambang negara itu.

Seperti model Messi, telefon Ronaldo turut menerima kemasan emas 24 karat dan dihadkan kepada hanya 19 unit.

Walaupun tampil dengan rekaan eksklusif, kedua-dua telefon itu mengekalkan semua fungsi asal model asas masing-masing, dengan perubahan hanya membabitkan bahagian luaran.

Pembeli turut menerima kotak pembungkusan khas, kunci bersadur emas, syiling Caviar, sijil ketulenan pelbagai peringkat serta jaminan selama setahun.

Caviar turut menawarkan tempahan khas termasuk ukiran nama atau logo pemilik, pengubahsuaian rekaan dan penggunaan bahan mengikut kehendak pelanggan.

Model iPhone 17 Pro 256GB dijual pada harga AS$11,410 (RM48,400), manakala Galaxy Z Fold 8 Ultra edisi Messi bermula pada AS$13,130 (RM55,700) bagi storan sama.

Harga premium itu mencerminkan penggunaan bahan mewah, hasil kerja tangan yang teliti serta status eksklusif kerana hanya 19 individu di dunia berpeluang memiliki setiap model berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top