De Zerbi enggan ulas masa depan Richarlison

London: Pengurus Tottenham Hotspur, Roberto De Zerbi enggan mengulas sama ada Richarlison akan kekal bersama kelab itu selepas penyerang Brazil berkenaan dilaporkan mahu menamatkan kontraknya.

Richarlison dikatakan sedang berselisih dengan Tottenham berhubung baki sembilan bulan kontraknya bersama kelab London itu.

Pemain berusia 29 tahun berkenaan sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke bekas kelabnya, Everton, namun rundingan itu gagal dimuktamadkan sebelum tarikh tutup jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 1 September lalu.

Richarlison dilaporkan mahu Tottenham bersetuju dengan perpindahan secara pinjaman bagi membolehkannya menyertai kelab Brazil, Vasco da Gama sebelum menilai semula masa depannya pada Januari.

Pengarah bola sepak Vasco da Gama, Admar Lopes turut mengesahkan pihaknya sedang berunding mengenai perpindahan pemain itu.

Bagaimanapun, Tottenham dipercayai lebih berminat menjual Richarlison secara tetap, menyebabkan situasi berkenaan menemui jalan buntu ketika jendela perpindahan Brazil bakal ditutup malam ini.

Richarlison yang menyertai Tottenham pada 2022, tidak beraksi sejak kekalahan 0-3 kepada Brentford pada aksi pembukaan EPL musim ini.

Dia turut tidak disenaraikan dalam skuad rasmi 25 pemain Tottenham untuk saingan liga yang diumumkan pada 3 September lalu.

“Saya tidak tahu. Itu bukan tugas saya.”Apa yang boleh saya katakan ialah saya tahu dengan jelas apa yang kelab sudah lakukan untuk Richarlison dan saya juga tahu apa yang Richarlison sudah lakukan untuk kelab dalam tempoh sebulan atau dua bulan terakhir.

“Saya tahu, kelab tahu, dia tahu, ejennya tahu. Semua orang tahu lebih baik daripada kamu (media). Jauh lebih baik.”

Tanpa kelibat Richarlison, Tottenham masih gagal mencatat kemenangan dalam EPL musim ini dan belum menjaringkan gol liga menjelang kunjungan Everton, Sabtu ini.

Bagaimanapun, De Zerbi kekal positif dengan kemampuan skuadnya untuk bangkit.

“Saya fikir kami lebih baik berbanding musim lalu. Sukar untuk mempercayainya ketika ini kerana kami tidak menang dan tidak menjaringkan gol, tetapi saya positif.

“Saya percaya kepada pemain saya, saya percaya kepada kumpulan pemain ini. Saya fikir mereka mempunyai kualiti dan potensi yang besar dan sekarang saya kekal positif,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top