Anwar balas sindiran Ahmad Zahid dengan istilah ‘Guru, Slayyy’

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membalas secara berseloroh sindiran Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan menggunakan istilah ‘Guru’ dan ‘Slayyy’ dalam hantaran terbaharu di laman Facebook rasmi beliau.

Anwar yang selamat tiba di New Delhi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS Ke-18, menggunakan kedua-dua istilah itu ketika mengemas kini maklumat mengenai misi diplomatik negara kepada rakyat Malaysia.

“Alhamdulillah Guru selamat tiba di New Delhi, India untuk membawa nama negara di pentas dunia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18.

“Doakan misi diplomasi negara ini mencapai matlamatnya. Semoga anak didik dapat belajar dari Guru cara Diplomasi Madani diterjemahkan. Slayyy,” katanya dalam hantaran berkenaan.

Hantaran berseloroh itu dipercayai sebagai respons kepada ucapan dasar Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang berlangsung pada hari sama di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Dalam ucapan dasarnya, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menyindir beberapa dasar kerajaan berkaitan isu percukaian dan ketidakpastian ekonomi, selain berulang kali merujuk kepimpinan Kerajaan Perpaduan secara kiasan sebagai ‘guru’.

Penggunaan perkataan ‘guru’ itu merujuk kepada trend dan meme tular di media sosial tempatan yang sering digunakan netizen ketika memberikan nasihat atau sindiran secara berkias.

Selain itu, Ahmad Zahid turut mencuri tumpuan apabila menggunakan bahasa slanga Generasi Z (Gen-Z) ketika menyeru perwakilan muda membawa idea baharu ke dalam parti.

Tindakan Anwar menggunakan semula perkataan ‘Guru’ dan ‘Slayyy’ dalam hantaran rasminya dari New Delhi dilihat sebagai bentuk maklum balas diplomasi mesra dan sindiran humor antara dua pemimpin tertinggi negara berkenaan.

Scroll to Top