Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pihak sekolah supaya tidak menyembunyikan kes buli demi menjaga nama baik institusi, sebaliknya mengambil tindakan segera bagi melindungi mangsa.
Tutup kes memburukkan lagi keadaan
Memetik laporan daripada Bernama, beliau menyatakan budaya menutup kes hanya akan memburukkan keadaan kerana buli merupakan masalah akhlak yang perlu ditangani secara tegas.
Berucap pada Program Temu Anwar Bersama Pelajar dan Warga Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik di Bandar Enstek hari ini, Anwar menegaskan pengetua atau guru besar tidak wajar dipersalahkan sekiranya mereka mendedahkan kes buli yang berlaku di sekolah.
“Saya (juga) tidak fikir seorang guru besar atau pengetua itu salah kalau dia bongkar satu kes, pelajar ada 1,000, ada dua kes buli, takkan hendak salahkan pengetua tetapi (jadi) salah kalau dia tidak mengambil tindakan dan hendak tutup kes,” kata Anwar.
Kes berulang bermakna ada kelemahan dalam bentuk sahsiah pelajar
Menurut beliau, kejadian buli yang masih berulang menunjukkan masih terdapat kelemahan dalam usaha membentuk sahsiah pelajar walaupun pendidikan agama kini lebih meluas berbanding sebelum ini.
“Kalau kita bongkar betul-betul, hari-hari ada kes buli..ini tak boleh, maknanya (buli) menjadi satu penyakit..penyakit akhlak,” kata beliau.
Anwar turut menegaskan pendidikan bukan sekadar melahirkan individu yang cemerlang dalam akademik atau teknologi, sebaliknya perlu membentuk insan yang memahami nilai kemanusiaan serta menghormati orang lain.
“Kita boleh jadi teknokrat, pakar IT (teknologi maklumat) atau memiliki PhD (doktor falsafah), tetapi untuk apa semua itu kalau tidak dididik menjadi manusia yang memahami nilai kemanusiaan dan menghormati orang lain,” kata beliau.
Beliau berkata warga pendidik memikul tanggungjawab besar untuk memastikan institusi pendidikan menjadi tempat yang selamat, sekali gus melahirkan generasi beriman, berakhlak dan mempunyai sifat ihsan.
Dalam masa sama, Anwar memuji prestasi bidang perguruan negara yang disifatkannya berada pada tahap amat baik dan berharap kualitinya terus dipertingkatkan.
Sumber: Bernama






