‘Siapa serang UMNO, siapa salah guna kuasa? – Naib Pengerusi DAP Johor

JOHOR BAHRU – Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali mempersoalkan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung dakwaan wujud pihak yang menyerang dan mengkhianati parti itu.

Ahli Dewan Negara itu berkata, beliau tidak pasti siapa yang dimaksudkan Asyraf Wajdi, namun pada masa sama mengingatkan tindakan penguatkuasaan undang-undang tidak seharusnya disamakan dengan usaha menyerang atau mengkhianati mana-mana parti politik.

Menurutnya, dua hari lalu, bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim didakwa di mahkamah susulan siasatan berkaitan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Sheikh Umar mendakwa Abdul Azeez didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Tabung Haji untuk mendapatkan jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad dengan imbuhan RM690,000 setahun selain kemudahan sebuah BMW 7 Series dan pemandu tetap.

Katanya, Abdul Azeez turut didakwa mempengaruhi Lembaga Tabung Haji untuk meluluskan cadangan pelaburan sehingga RM193.5 juta dalam syarikat berkenaan.

“Jika itu yang Asyraf Wajdi maksudkan sebagai salah guna kuasa dan khianati rakan, saya fikir beliau silap.

“Jangan terkeliru antara khianati rakan dengan tindakan penguatkuasaan undang-undang,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Sebelum itu, ketika membentangkan Laporan Setiausaha Agung pada Pembukaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), Asyraf dilaporkan sebuah portal mendakwa serangan terhadap UMNO dilakukan pihak yang menyalahgunakan kuasa dan jawatan.

Menurutnya, pihak terbabit turut mengkhianati rakan yang sebelum ini membantu mereka mencapai kedudukan.

Tanpa menamakan mana-mana individu atau pihak, Asyraf menyifatkan golongan itu sebagai “bobrok” kerana hanyut dengan kekuasaan sementara sehingga hilang pertimbangan.

Sheikh Umar menambah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Julai lalu turut menegaskan siasatan susulan RCI Tabung Haji perlu dijalankan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan.

Beliau berkata, pada 8 Ogos lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim turut menitahkan supaya siasatan berkaitan RCI Tabung Haji dijalankan sehingga ke lubang cacing dan tiada pihak terlepas daripada tindakan sekiranya benar-benar didapati bersalah.

“Pada 10 September 2026, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri menyatakan bahawa parti itu tiada halangan untuk memberikan kerjasama kepada SPRM sekiranya terdapat bukti kukuh untuk pendakwaan terhadap pemimpin kanannya, dengan siasatan terlebih dahulu dilakukan secara adil dan telus,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada perkara berkenaan yang dimaksudkan Asyraf ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

“Adakah hal ini yang Asyraf Wajdi marah sangat dalam PAU?

“Yang beliau katakan sebagai serangan terhadap UMNO?

“Yang beliau kata bobrok, mengaibkan dan memalukan UMNO?,” soalnya.

 

 

Scroll to Top