Budaya berhutang dalam kalangan belia menular, risiko muflis muda makin tinggi

Budaya berhutang dalam kalangan belia menular, risiko muflis muda makin tinggi

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Peningkatan pemegang akaun ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL) mencecah lapan juta pada suku pertama 2026 menjadi petunjuk budaya berhutang semakin menular dalam kalangan rakyat khususnya generasi muda.

Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, keadaan itu didorong faktor seperti kurangnya kesedaran dan ilmu mengenai perancangan kewangan, selain sikap mahu bergaya, memenuhi kepuasan secara segera serta kecenderungan berbelanja tanpa memikirkan kesan jangka panjang.

“Faktor luaran seperti peningkatan kos sara hidup turut menyebabkan golongan muda melihat BNPL sebagai jalan mudah untuk memenuhi keperluan berdasarkan pendapatan boleh guna mereka.

“Selain itu, tarikan dan promosi menarik oleh penyedia BNPL menyebabkan generasi muda mudah membuat keputusan untuk berhutang tanpa memikirkan implikasi pada masa depan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Semalam, Kementerian Kewangan (MoF) dilaporkan memaklumkan, jumlah pemegang akaun BNPL yang aktif meningkat kepada lapan juta bagi suku pertama 2026.

Dalam tempoh sama, jumlah baki terkumpul BNPL mencecah RM5.3 bilion, manakala jumlah tidak berbayar sebanyak RM181.0 juta atau 3.4 peratus daripada jumlah baki terkumpul BNPL.

Mengulas lanjut, Mohd Faisol berkata, keadaan itu berisiko mengakibatkan kadar hutang isi rumah golongan muda yang baru ingin membina kerjaya dan keluarga ‘membengkak’ lalu menjejaskan kesejahteraan hidup.

“Beban hutang yang tinggi juga boleh menjejaskan keupayaan golongan muda memiliki rumah, mendapatkan perlindungan perubatan, membuat simpanan dan pelaburan kerana sebahagian besar pendapatan digunakan untuk membayar komitmen hutang.

“Situasi itu turut meningkatkan risiko golongan muda menjadi muflis akibat kegagalan melunaskan hutang, selain berpotensi mendorong mereka mendapatkan pinjaman daripada pemberi pinjaman tidak berlesen,” katanya.

Mengulas pembukaan permohonan lesen kepada penyedia BNPL oleh Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP), beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan pengguna mendapat perlindungan daripada sebarang bentuk manipulasi.

“Melalui pelesenan di bawah SKP, penyedia BNPL perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan termasuk berkaitan kelayakan pengguna, caj keuntungan dan caj faedah.

“Ia penting bagi memastikan pengguna tidak dibebani hutang yang tidak perlu sehingga menjejaskan keupayaan kewangan dan akhirnya membawa kepada masalah kemiskinan bandar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top