SHAH ALAM – Kerugian akibat pelaburan tidak menjadi tidak wajar disamakan dengan kerugian yang berpunca daripada jenayah penipuan korporat.
Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, terdapat perbezaan jelas antara kegagalan sesuatu pelaburan dipengaruhi faktor perniagaan dengan kes penipuan yang dirancang sejak awal bagi memperdayakan pelabur.
“Kerugian disebabkan jenayah tidak sama dengan kerugian di dalam membuat pelaburan yang silap. Di mana bezanya? Di dalam kes jenayah, penjenayah dari awal lagi merancang dan menipu mangsa secara terancang menyebabkan pelbagai pihak yang terkena.
“Sebaliknya, satu-satu pelaburan boleh hangus disebabkan pelbagai perkara seperti model perniagaan yang tidak menjadi, kegagalan di dalam pelaksanaan strategi, perubahan di dalam pasaran serta pengasas yang tidak mampu.
“Itulah sebabnya pelabur atau pembiaya memfasakan perkembangan setiap perniagaan yang dinilai dan menyesuaikan jenis pelaburan atau pembiayaan setara dengan risiko yang wujud. Ni satu bab yang amat luas,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Jumaat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis dilapor berkata, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) diperdayakan menerusi penipuan terancang dan manipulasi laporan kewangan sehingga menyalurkan kira-kira RM200 juta kepada syarikat pemula akuakultur di Indonesia dikenali sebagai eFishery.
Menurutnya, keputusan pelaburan dalam eFishery oleh KWAP dibuat melalui proses penilaian dan proses tadbir urus, berdasarkan maklumat tersedia yang merangkumi pengesahan penyata kewangan daripada juruaudit antarabangsa bertauliah.
Dalam pada itu, Nik Mohd Hasyudeen yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) turut membandingkan isu eFishery dengan beberapa kes berprofil tinggi seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) SRC International Sdn Bhd dan Serba Dinamik yang menyaksikan penglibatan pelbagai institusi kewangan serta pelaburan tempatan dan antarabangsa.
Antara institusi yang pernah dikaitkan sebagai pelabur atau pembiaya dalam pelbagai kes berkenaan termasuk KWAP dan institusi kewangan.
Menurutnya, disebabkan jenayah dan penipuan disusun dengan rapi mengakibatkan banyak nama besar menjadi ‘mangsa’ dalam pelbagai peranan.
Justeru katanya, tersenarai dalam kumpulan terlibat tidak semestinya mereka melakukan kesalahan atau tanggungan, sebaliknya perlu dikaji dengan teliti sebelum mengaitkan sesebuah entiti.
“Melabur dan membiaya adalah kerja-kerja harian institusi-institusi di atas. Mereka ada kaedah dan selera risiko masing-masing.
“Tidak semua pelaburan dan pembiayaan yang dibuat menjadi. Sebaliknya banyak mana pula yang menguntungkan dan membawa pulangan atau keuntungan yang disasarkan,” katanya.



