Pelakon Sharifah Husna berkata meskipun sudah berpisah dengan bekas suaminya, Halim Radzi namun mereka tiada bekerjasama untuk bekerjasama lagi.
Memetik Oh Bulan, Husna berkata mereka juga pernah menjayakan satu naskah selepas bercerai dan ketika itu tiada siapa tahu mengenai status hubungannya dengan Halim.
BACA: Sharifah Husna, Halim Radzi Sah Bercerai Talak Satu
“Kami dalam hubungan yang baik, itu sebab kami mempunyai hubungan yang profesional ketika bekerja. Jadi tiada masalah, malah kami pernah berjumpa di set selepas itu (perceraian) tapi tiada siapa tahu. Itu menunjukkan bagaimana kami profesional di set.
“Kami pernah bekerjasama selepas bercerai dan kami mempunyai hubungan yang baik sehingga sekarang. Sekiranya, kami berjumpa lagi di set, tiada masalah.
“Ketika menjayakan penggambaran drama Doa Yang Terlindung sebenarnya kami sudah tidak bersama. Bukan saja dalam drama bersiri tapi kami juga ada bekerjasama dalam kolaborasi produk,” katanya.
Sementara itu, Husna berkata dia enggan mengulas mengenai perceraiannya dengan bekas suami namun cukup untuk umum mengetahui perkahwinan mereka diakhiri secara baik.
“Perincian mengenai perceraian saya bersama dia, hanya antara saya dan dia. Cukuplah sekadar orang tahu bahawa kami sudah bercerai.
“Kami akhiri perkahwinan kami dengan baik. Jodoh sampai itu saja tapi kami masih boleh bekerjasama secara profesional,” katanya.
Untuk rekod, Halim dan Husna mendirikan rumah tangga pada 21 Oktober 2022. Pada Jun lalu, Husna mengesahkan dia dan Halim sudah bercerai talak satu.
Sumber: Oh Bulan




