Pahang Rangers mahu balas dendam ke atas Selangor FC

Pahang Rangers mahu balas dendam ke atas Selangor FC

sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Pahang Rangers FC berhasrat menebus kekalahan sebelum ini apabila berdepan Selangor FC pada perlawanan pertama sirkit keenam Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, Selangor, malam esok.

Pada pertemuan Tok Gajah dengan Merah Kuning di sirkit keempat di Stadium Tertutup SUKPA, bulan lalu, skuad bimbang jurulatih, Eloy Alonso Fraile tewas 3-5.

Menurut Fraile, kemenangan pada dua perlawanan sirkit keenam bertemu Selangor dan Terengganu amat penting dalam usaha pasukan berada pada kedudukan terbaik seterusnya membuka peluang menjulang kejuaraan liga musim ini.

Katanya, pertemuan dengan Selangor malam esok begitu mencabar yang memerlukan kesungguhan dan semangat tinggi pemain untuk menebus kekalahan sebelum ini.

“Saya yakin pemain Pahang Rangers mampu melakukan kejutan terhadap Selangor walaupun tuan rumah berkelebihan bermain di gelanggang sendiri dengan sokongan peminat setia mereka.

“Pemain Pahang Rangers tidak boleh terlalu banyak melakukan kesilapan selain dapat mengawal pergerakan pemain lawan, kerana pemain Selangor pasti berusaha memburu jaringan seawal permainan sambil membentuk pertahanan yang kuat,” katanya.

Beliau berkata, penjaring terbanyak Pahang Rangers, Felipe de Souza perlu tampil dengan lebih berkesan menghasilkan jaringan dengan sokongan Rodrigo da Silva, Ahmad Harith Na’im Mohd Nasir, Akmarulnizam Mohd Idris dan Tuah Eizlan Aminnudin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top