PETALING JAYA: Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Glasgow 2026, Datuk Awalan Abdul Aziz menggesa atlet negara supaya mengurangkan penggunaan media sosial sepanjang menyertai temasya berkenaan bagi menjaga kesihatan mental dan memastikan fokus kekal terhadap prestasi masing-masing.
Beliau berkata, atlet perlu bijak mengurus masa dan tidak terlalu bergantung kepada telefon pintar kerana pendedahan berlebihan terhadap media sosial boleh memberi kesan kepada emosi serta tumpuan mereka.
“Saya setuju dengan itu, kurang masa di media sosial. Jangan duduk menghadap telefon sepanjang masa. Mereka perlu ‘switch off’ seketika ketika berada di temasya Sukan Komanwel nanti,” katanya.
Menurut Awalan, atlet perlu memberi keutamaan kepada persediaan mental dan fizikal selain mengelakkan gangguan luar yang boleh menjejaskan fokus ketika menghadapi saingan.
Dalam pada itu, beliau berpandangan tekanan yang dihadapi atlet bukan semata-mata berpunca daripada susunan jadual pertandingan atau masa mereka bertanding, sebaliknya lebih bergantung kepada sasaran peribadi yang telah ditetapkan.
“Kalau bercakap mengenai tekanan kepada atlet yang bertanding lebih awal atau lewat, saya rasa ia bergantung kepada diri mereka sendiri.
“Apabila saya berbincang dengan atlet dan jurulatih, mereka mempunyai sasaran peribadi yang mahu dicapai. Tekanan itu lebih tertumpu kepada sasaran masing-masing.
“Kalau sasaran emas, mereka perlu memburu emas. Kalau sasaran perak atau gangsa, itulah yang mereka cuba capai,” katanya.
Kontinjen Malaysia bakal diwakili 59 atlet termasuk 22 atlet para negara akan mengambil bahagian dalam lapan sukan dengan diletakkan sasaran untuk membawa pulang lima emas, dua perak dan empat gangsa. – UTUSAN




