KUALA LUMPUR: Pengamal media perlu menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan profesion kewartawanan kekal relevan dalam landskap digital yang semakin berkembang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun penguasaan teknologi itu tidak boleh mengorbankan nilai, etika kewartawanan dan kebebasan media.
Menurutnya, perkembangan AI yang dikuasai kuasa-kuasa besar dunia berpotensi mempengaruhi kebebasan maklumat, pembentukan naratif serta kedaulatan sesebuah negara, sekiranya tidak ditangani dengan bijaksana.
“Kita berdepan kuasa baharu yang menguasai teknologi dan menggunakannya untuk membentuk hasrat, ideologi serta budaya yang kadangkala asing daripada kita,” katanya ketika berucap pada Malam Wartawan Malaysia 2026 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Anwar berkata, cabaran utama industri media ketika ini bukan sekadar menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, sebaliknya memastikan kemajuan digital tidak menjejaskan integriti kewartawanan serta prinsip penyampaian maklumat yang tepat dan beretika.
Beliau berkata, AI perlu dimanfaatkan sebagai alat untuk memperkukuh peranan wartawan dan bukannya menentukan cara masyarakat berfikir atau membentuk naratif berdasarkan kepentingan pihak tertentu.
“AI harus menjadi instrumen yang membantu memperkukuh profesion kewartawanan, bukannya mengambil alih peranan manusia dalam menentukan kebenaran dan membentuk pemikiran masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia perlu membangunkan keupayaan teknologi sendiri, selain memperkukuh kerjasama serantau bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu kuasa ekonomi dan teknologi.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan negara mempunyai keupayaan mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan serta nilai kemanusiaan dalam era persaingan teknologi global.
“Kita tidak mahu semuanya bergantung kepada satu pendekatan, satu ideologi dan satu kuasa ekonomi besar.
“Semua negara perlu membangunkan kekuatan dalaman dan kekuatan serantau bagi mempertahankan kemerdekaan serta nilai manusia,” katanya.-UTUSAN




