Harian Metro rangkul 2 anugerah pada HKM MPI-Petronas 2025

Harian Metro rangkul 2 anugerah pada HKM MPI-Petronas 2025

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Harian Metro (HM) berjaya merangkul dua anugerah pada Malam Wartawan Malaysia 2026 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2025 yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, malam ini.

HM meraih tempat Perak bagi kategori Infografik Terbaik menerusi karya bertajuk Sepak Takraw Kombinasi Ketangkasan, Ketepatan dan Akrobatik oleh wartawan sukan HM, Mohd Syazwan Mohamed Shah Affendi bersama pereka grafik, Nor Salim Mohamed Dawam.

Selain itu, HM turut memenangi tempat Gangsa bagi kategori Bicarawara Video Terbaik menerusi Podcast Apa-Apa Saja Harian Metro bertajuk Barua Tipu Dapat RM20,000 Satu Kepala oleh wartawan HM, Muhamad Zuraidi Mansor.

Pemenang perak dan gangsa masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000 dan RM2,000 serta sijil.

Dalam pada itu, beberapa wakil HM turut tersenarai dalam kelompok lima terbaik bagi beberapa kategori dipertandingkan.

Antaranya kategori Infografik Terbaik menerusi karya Aroma dan Rasa Merentas Zaman oleh wartawan Fairul Asmain Mohd Pilus bersama pereka grafik, Mohd Fahmy Mohd Hashim.

Turut tersenarai ialah Ketua Penyunting HM, Ramasamy Chellachamy menerusi kategori Penulisan Kolum Terbaik dengan karya Siapa Sebenarnya Cuai?

Bagi kategori Esei Foto Terbaik, jurugambar HM, Mohd Aizuddin Akmal Saad tersenarai menerusi karya segmen Metro Ahad: Sahabat Samudera Bajau Laut Sebati Dengan Alam.

Selain itu, Pengarang Berita HM, Mohd Jamilul Anbia Md Denin turut tersenarai dalam kategori Laporan Berita Terbaik menerusi karya Famili Hancur Depan Mata manakala pereka grafik HM, Asyraf Adnan pula tersenarai dalam kategori Reka Letak Halaman Terbaik menerusi karya Pusara Tanpa Nisan.

Sebanyak 21 kategori dipertandingkan dalam HKM MPI-Petronas 2025 yang menghimpunkan karya terbaik pengamal media tempatan.

Majlis berkenaan turut disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top