Bukan 'kaleng-kaleng' bernostalgia bersama Peterpan

Bukan 'kaleng-kaleng' bernostalgia bersama Peterpan

puterialia@hmetro.com.my

Kerinduan mendalam peminat tegar kumpulan Peterpan akhirnya terubat selepas 18 tahun menerusi Konsert The Journey Continues – Peterpan, Semua Tentang Kita yang berlangsung penuh emosi di Idea Live Arena, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Kehadiran ahli asal kumpulan itu seperti Reza (dram), Loekman (gitaris), Andika (piano) dan Indra (bass) nyata berjaya mengubati penantian panjang buat Sahabat Peterpan yang membanjiri ruang acara seawal jam 6 petang.

Ruang konsert bertukar menjadi lautan biru apabila rata-rata peminat yang hadir tanpa mengira usia, tua mahupun muda, tampil mengenakan busana mengikut tema warna yang ditetapkan.

Tepat jam 8.13 malam, penonton disajikan dengan tayangan montaj video mengimbau memori zaman populariti Peterpan, sebelum lampu dipadamkan bagi memperkenalkan setiap ahli kumpulan itu secara individu bermula dengan Reza, Andika, Indra dan Loekman.

Suasana pentas mula hangat dengan persembahan bertenaga daripada penyanyi terkenal Indonesia, Marcello Tahitoe (Ello) yang membuka tirai dengan membawakan lagu Taman Langit, diikuti rangkaian hits lain seperti Khayalan Tingkat Tinggi, Di Atas Normal dan Topeng.

“What’s Up Malaysia? Nice to see you again (Apa khabar Malaysia? Gembira bertemu dengan anda semula). Saya baru ke sini bulan lalu ya, tetapi mereka (Peterpan), kali terakhir ke sini adalah 18 tahun yang lalu.

“Ini sangat menakjubkan, Malaysia. Sebenarnya, pertama kali saya diajak menyertai projek ini, saya fikir mereka adalah legenda, jadi semua lagu-lagunya masih dekat dengan kita.

“Tidak kira apa warga negara anda, kita semua di sini berkumpul demi Peterpan,” katanya kepada Sahabat Peterpan.

Malam nostalgia itu diteruskan lagi dengan kemunculan penyanyi Indonesia, Rony Parulian yang menyampaikan lagu ikonik, Ada Apa Denganmu secara duat bersama Marcello.

Rony turut memukau penonton dengan lagu-lagu hits seperti Yang Terdalam, Masa Lalu Tertinggal, Tak Bisakah serta Hilang.

Lebih istimewa, lagu Yang Terdalam turut dinyanyikan bersama pemenang pertandingan Vokalis Peterpan ERA, Hamzah.

“Satu kenangan yang manis, yang akan kita bawa pulang, yang akan kalian bawa pulang tentunya untuk selamanya. Kerana karya-karya Peterpan bukan hanya menjadi sebuah kenangan bagi generasi saya, bagi generasi kalian, bagi generasi kita semuanya.

“Tetapi ia akan terus hidup bersama generasi-generasi berikutnya. Saya percaya mungkin suatu hari nanti kita akan bertemu lagi menyanyi bersama dan mengenang malam yang indah ini,” kata Rony sebelum mendendangkan lagu Mungkin Nanti.

Konsert berkenaan turut diserikan dengan penampilan penyanyi popular tanah air, Hael Husaini yang menyampaikan lagu Menunggumu berduet bersama Tantri Syalindri (Kotak), selain mendendangkan lagu Aku dan Bintang.

Dalam pada itu, Tantri turut meluahkan rasa kagumnya dapat berkongsi pentas dengan Hael pada malam bersejarah itu.

“Aku datang dari Indonesia khas demi Peterpan dan kebetulan terus bertemu dengan Hael yang suaranya, masya-Allah… salah seorang yang terbaik di Malaysia. Hael, terima kasih banyak kerana sudi untuk berkongsi pentas ini dengan saya,” katanya.

Mempersembahkan lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan legenda Indonesia ini, Hael menganggap peluang berkenaan adalah satu penghormatan besar yang amat mendebarkan.

“Kalau ikutkan sekarang ini saya rasa gementar sebab berada satu pentas dengan band yang banyak menggamit kenangan kita.

“Sebenarnya apabila saya berada di pentas ini, saya merasakan diri saya sangat kecil, sebab kita tahu Peterpan adalah legenda yang sangat, sangat, sangat kita agungkan,” katanya.

Tidak hanya bergantung kepada penyanyi jemputan, momentum konsert terus memuncak apabila seluruh penonton gamat menyanyikan lagu Mimpi Yang Sempurna dengan iringan muzik secara langsung daripada Reza, Andika, Indra dan Loekman.

Sementara itu, Sahabat Peterpan turut dihidangkan dengan persembahan daripada Arda Hatna yang membawakan lagu Kita Tertawa dan Ku Katakan Dengan Indah yang dinyanyikan bersama isterinya, Tantri.

Arda sempat memuji keramahan rakyat Malaysia serta keunikan makanan tempatan sepanjang berada di negara ini.

“Nombor satu, durian Musang King dan Black Thorn kalian enak banget. Mungkin itu durian terbaik di dunia, begitu juga nasi lemak. Yang kedua, setiap kali bertembung di jalan, kalian pasti akan tersenyum. Begitu ramahnya Malaysia menghargai muzik Indonesia, termasuk legenda Peterpan.

“Waktu kecil dulu, saya takut bermimpi terlalu jauh kerana takut jatuh. Tetapi muzik Peterpan memberi saya harapan bahawa tidak ada yang mustahil. Prestasi terbesar saya bukanlah wang, tetapi dapat berdiri di panggung ini untuk cucu-cucu legenda.

“Terima kasih muzik Peterpan. Mungkin kita akan kembali ke mesin waktu ketika patah hati di masa lalu. Terima kasih masa lalu untuk hari kita hari ini,” katanya dengan penuh emosi.

Tantri yang kelihatan gementar membuat persembahan di khalayak Sahabat Peterpan ini turut meluahkan rasa syukur kerana terpilih menjadi sebahagian daripada projek berskala besar ini.

“Saya sangat gementar. Malaysia, apa khabar? Baik? Lama tidak berjumpa. Alhamdulillah ya Allah, saya kembali lagi ke Malaysia bukan bersama Kotak, tetapi dengan band legenda dari Indonesia, Peterpan. Luar biasa sekali.

“Saya yakin semua Sahabat Peterpan mahu bernostalgia. Saya dan penyanyi jemputan lain sangat beruntung kerana dipercayai untuk menyanyikan lagu-lagu hits mereka dan membawa anda semua ke lorong waktu.

“Mereka (anggota Peterpan) sudah bersahabat lama sekali, mengambil masa 18 tahun untuk kembali ke Malaysia,” katanya.

Selain itu, Tantri turut mendendangkan lagu yang cukup dekat di hati peminat iaitu Bintang Di Surga, Sahabat, Di Belakangku serta Langit Tak Mendengar yang dinyanyikan bersama Marcello.

Kemuncak konsert menyaksikan semua ahli Peterpan bersama artis jemputan berhimpun di atas pentas bagi menyanyikan lagu paling ikonik, Semua Tentang Kita.

Nyanyian itu bergema hebat di dalam arena apabila dilaungkan bersama 7,000 Sahabat Peterpan yang hadir.

Gitaris Peterpan, Loekman, mewakili rakan-rakannya menzahirkan ucapan penghargaan yang tidak terhingga atas sokongan peminat di Malaysia sejak sekian lama.

“Terima kasih kerana selama ini kalian selalu menerima kekurangan daripada kami. Terima kasih juga kerana sudah menjadi sebahagian daripada perjalanan kami dari dahulu sampai sekarang.

“Semoga ini bukan pertemuan terakhir. Sampai berjumpa lagi, Malaysia. Dulu kami hanya punya mimpi, malam ini kami punya kalian,” katanya dengan penuh emosi.

Konsert yang berlangsung selama dua jam itu bukan sekadar sebuah persembahan muzik, sebaliknya naskhah memori yang menyatukan semula jiwa terhadap karya agung Peterpan, sekali gus membuktikan bahawa muzik mereka akan terus hidup merentas generasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top