am@hmetro.com.my
Tinggal di apartmen atau kondominium bukan lagi alasan untuk tidak berkebun apabila kaedah hidroponik membolehkan tanaman sayur diusahakan walaupun hanya menggunakan ruang balkoni yang terhad.
Malah, modal permulaan yang rendah serta penjagaan yang mudah menjadikan kaedah itu semakin mendapat perhatian, terutama dalam kalangan masyarakat bandar yang ingin menikmati hasil tanaman segar untuk kegunaan sendiri.
Bagi Kapten Abdul Hisyam Ghazali, 33, minat terhadap aktiviti berkebun mendorongnya mencuba sistem hidroponik di balkoni apartmennya di Puncak Alam, Selangor, sejak tahun lalu.
Menurut pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu, kaedah berkenaan dipilih kerana ia tidak memerlukan tanah selain lebih bersih dan mudah diurus berbanding penanaman secara konvensional.
“Saya tinggal di apartmen dan pada masa sama minat berkebun. Kerana ketiadaan tanah, saya cuba kaedah hidroponik di balkoni.
“Melalui sistem ini, saya hanya perlu memastikan paras air sentiasa mencukupi, periksa keadaan daun selain pastikan tiada serangan serangga. Penjagaannya juga tidak rumit,” katanya.
Menurut Abdul Hisyam, antara tanaman yang sesuai diusahakan menggunakan sistem hidroponik di rumah ialah kangkung dan sawi kerana ia mudah dijaga serta mempunyai tempoh matang yang singkat.
Katanya, ruang sekecil kira-kira satu kaki persegi atau keluasan balkoni sedia ada sudah memadai untuk memulakan tanaman hidroponik, manakala kos permulaan juga tidak membebankan.
“Jika hendak bermula secara kecil-kecilan, modal di bawah RM50 pun sudah mencukupi. Peralatan asas yang diperlukan hanya bekas takungan air, net pot, span semaian, baja AB hidroponik dan benih sayur.
“Dalam tempoh 20 hingga 30 hari, tanaman sudah boleh dituai untuk kegunaan sendiri. Sekurang-kurangnya dapat mengurangkan sedikit perbelanjaan membeli sayur,” katanya.
Bagaimanapun, Abdul Hisyam mengakui, kekangan masa menjadi cabaran utama memandangkan tugasnya ada kalanya memerlukan dia berada di luar kawasan dalam tempoh tertentu.
“Apabila bertugas di luar, saya minta bantuan isteri untuk memantau keadaan tanaman dan menambah air sekiranya perlu. Syukur, dengan kerjasama ini, tanaman dapat dijaga dengan baik,” katanya.
Abdul Hisyam berkata, kegagalan juga adalah sebahagian daripada proses pembelajaran yang mana dia pernah berdepan masalah benih tidak bercambah akibat kualiti benih yang kurang baik.
“Sejak itu, saya lebih berhati-hati memilih benih yang berkualiti supaya kadar percambahan lebih baik dan tanaman dapat membesar dengan sihat,” katanya.
Menurutnya, hidroponik bukan sekadar hobi hujung minggu, malah mampu menjadi gaya hidup masyarakat bandar yang ingin bercucuk tanam walaupun mempunyai ruang yang terhad.
“Selain menghasilkan sayur yang lebih bersih kerana tidak bersentuhan dengan tanah, tanaman hidroponik juga membesar lebih cepat kerana nutrien disalurkan terus melalui air.
“Pada masa sama, aktiviti berkebun juga menjadi terapi semula jadi yang membantu mengurangkan tekanan selepas seharian bekerja,” katanya.
Abdul Hisyam turut menyarankan mereka yang ingin mencuba hidroponik supaya bermula secara kecil-kecilan dengan lima hingga 10 pokok menggunakan tanaman yang mudah seperti kangkung atau sawi.
“Bagi rumah yang mempunyai ruang terhad, gunakan rak bertingkat supaya lebih banyak pokok dapat ditanam tanpa memerlukan kawasan yang luas.
“Paling penting, jangan mudah berputus asa jika tanaman pertama tidak menjadi. Anggap kegagalan itu sebagai proses pembelajaran dan terus baiki teknik penjagaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




