lizamridzuan@hmetro.com.my
Setiap kali berlaku kemalangan membabitkan motosikal, perhatian masyarakat sering tertumpu kepada rakaman video tular, gambar ngeri atau persoalan siapa yang bersalah. Namun selepas beberapa hari, semuanya kembali dilupakan sehingga tragedi seterusnya berlaku.
Hakikatnya, kemalangan motosikal di Malaysia bukan lagi isu bermusim, sebaliknya sudah menjadi krisis keselamatan jalan raya yang berlarutan sejak sekian lama. Statistik menunjukkan lebih 4,200 penunggang motosikal maut sepanjang 2025, mewakili kira-kira 65 peratus daripada keseluruhan kematian akibat kemalangan jalan raya di negara ini. Ini bermakna, hampir dua daripada setiap tiga nyawa yang terkorban ialah penunggang atau pembonceng motosikal.
Angka ini bukan sekadar nombor di atas kertas. Di sebalik setiap kematian terdapat keluarga yang kehilangan anak, suami, isteri, ibu atau bapa. Ada yang menjadi yatim dalam sekelip mata dan ada yang kehilangan pencari nafkah utama hanya kerana satu kesilapan yang sebenarnya boleh dielakkan.
Ironinya, motosikal kekal menjadi pengangkutan utama jutaan rakyat Malaysia. Kos pemilikan yang rendah, penggunaan bahan api yang menjimatkan serta keupayaan meredah kesesakan menjadikannya pilihan utama terutama golongan B40, pelajar dan pekerja sektor penghantaran.
Namun, kelebihan itu datang bersama risiko yang jauh lebih tinggi berbanding kenderaan lain. Berbeza dengan kereta yang mempunyai struktur perlindungan seperti beg udara, zon remuk dan tali pinggang keledar, penunggang motosikal hanya bergantung kepada topi keledar, pakaian keselamatan serta kemahiran mengendalikan motosikal.
Ini bermakna walaupun berlaku pelanggaran pada kelajuan sederhana, impaknya boleh membawa kecederaan serius atau meragut nyawa. Ramai beranggapan kemalangan berlaku kerana nasib malang, namun hakikatnya sebahagian besar kemalangan berpunca daripada faktor manusia. Sikap tergesa-gesa, memotong secara berbahaya, melanggar lampu isyarat, menggunakan telefon bimbit ketika menunggang serta tidak mematuhi had laju terus menjadi penyumbang utama kepada kemalangan.
Lebih membimbangkan apabila budaya mengambil risiko seolah-olah menjadi kebiasaan dan masih ramai yang menyelit di antara kenderaan tanpa ruang mencukupi, menunggang di lorong kecemasan, menukar lorong secara mengejut atau memecut ketika hujan.
Ada juga yang menganggap pengalaman bertahun-tahun menunggang sudah memadai untuk mengatasi apa juga situasi di jalan raya. Sedangkan pengalaman tidak mampu mengatasi hukum fizik apabila berlaku pelanggaran.
Kes tular kebelakangan ini menunjukkan bagaimana kecuaian kecil mampu membawa akibat besar.
Sebuah kenderaan berhenti tanpa amaran di lorong kecemasan, pemandu membuat pusingan U secara tiba-tiba atau penunggang memotong di titik buta semuanya boleh mencetuskan tragedi dalam tempoh beberapa saat.
Justeru, konsep tunggangan defensif perlu menjadi budaya dan bukannya sekadar slogan kempen dan penunggang perlu sentiasa mengandaikan pengguna jalan raya lain mungkin tidak menyedari kehadiran mereka.
Dalam erti kata lain, walaupun penunggang berada di pihak yang benar, mereka tetap perlu bersedia menghadapi kemungkinan orang lain melakukan kesilapan.
Antara amalan asas tunggangan defensif ialah memastikan jarak selamat, mengurangkan kelajuan di kawasan persimpangan, mengelakkan berada terlalu lama di titik buta kenderaan berat serta sentiasa membuat hubungan mata dengan pemandu sebelum melintas di hadapan mereka.
Topi keledar pula tidak sepatutnya dipilih berdasarkan reka bentuk semata-mata. Ia perlu memenuhi piawaian keselamatan, dipakai dengan betul dan tali pengikat mesti diketatkan. Topi keledar yang longgar memberi perlindungan yang jauh lebih rendah ketika impak berlaku.
Begitu juga dengan pakaian keselamatan. Jaket, sarung tangan, kasut bertutup dan pelindung badan mungkin dianggap tidak penting untuk perjalanan dekat, tetapi kebanyakan kemalangan sebenarnya berlaku berhampiran rumah atau tempat kerja.
Penyelenggaraan motosikal juga tidak boleh dipandang ringan. Tayar haus, brek tidak mencengkam, lampu yang tidak berfungsi dan tekanan angin tayar yang tidak mengikut spesifikasi boleh menjadi punca kemalangan walaupun penunggang mempunyai kemahiran tinggi.
Dalam era ekonomi gig, aspek keselamatan semakin mencabar. Ramai penunggang penghantaran makanan atau barangan berlumba dengan masa demi memenuhi sasaran penghantaran. Tekanan mengejar pendapatan kadangkala menyebabkan mereka mengambil risiko yang tidak sepatutnya.
Majikan dan platform digital juga mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan prestasi penghantaran tidak diukur semata-mata berdasarkan kepantasan sehingga menggalakkan tunggangan berbahaya.
Pada masa sama, pemandu kereta juga perlu mengubah persepsi terhadap penunggang motosikal. Keselamatan jalan raya bukan hanya tanggungjawab penunggang.
Banyak kemalangan berlaku kerana pemandu gagal memberi isyarat, membuka pintu secara tiba-tiba atau menukar lorong tanpa memeriksa cermin sisi.
Hubungan antara pengguna jalan raya seharusnya berasaskan saling menghormati, bukannya saling menyalahkan.
Teknologi juga boleh memainkan peranan penting. Motosikal moden kini dilengkapi sistem seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Cengkaman, lampu kecemasan automatik dan pelbagai ciri bantuan penunggang yang mampu mengurangkan risiko kemalangan. Namun teknologi hanyalah alat bantuan. Ia tidak mampu menggantikan pertimbangan dan disiplin manusia ketika berada di jalan raya.
Penguatkuasaan pula perlu dilaksanakan secara konsisten. Operasi bermusim semata-mata tidak mencukupi sekiranya sikap pengguna jalan raya tidak berubah selepas tamat kempen.
Pendidikan keselamatan jalan raya juga wajar diperkasakan sejak di bangku sekolah. Budaya menghormati undang-undang jalan raya perlu dibentuk lebih awal sebelum seseorang memperoleh lesen memandu atau menunggang.
Akhirnya, setiap kali menghidupkan enjin motosikal, penunggang sebenarnya membuat satu keputusan penting sama ada untuk pulang dengan selamat atau mengambil risiko yang tidak perlu.
Tiada perjalanan yang terlalu penting sehingga mengorbankan nyawa. Tiada destinasi yang terlalu jauh sehingga memerlukan kita menggadaikan keselamatan.
Jika setiap penunggang mampu mengubah satu tabiat berbahaya hari ini, sama ada mengurangkan kelajuan, memakai topi keledar dengan betul atau lebih bersabar ketika menunggang, kemungkinan besar satu lagi nama tidak akan ditambah dalam statistik kematian jalan raya negara esok.
Keselamatan jalan raya akhirnya bukan ditentukan oleh kecanggihan motosikal, jumlah saman yang dikeluarkan atau banyaknya kempen yang dianjurkan.
Ia bermula dengan satu keputusan mudah daripada setiap individu iaitu memilih untuk menunggang secara berhemah kerana ada insan yang sentiasa menunggu kepulangan kita di rumah.
Penulis wartawan Harian Metro
© New Straits Times Press (M) Bhd




