TEHERAN: Dua kapal tangki minyak meletup selepas melanggar periuk api di Selat Hormuz pada Sabtu ketika Amerika Syarikat (AS) dan Iran terus melancarkan serangan dron serta peluru berpandu.
Pengawal Revolusi Iran (IRGC) dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi IRNA mendakwa kedua-dua kapal itu cuba melalui kawasan periuk api di selatan Selat Hormuz akibat ‘helah agensi perisikan AS’ sebelum meletup dan terbakar.
Bagaimanapun, identiti kedua-dua kapal tangki itu tidak didedahkan.
IRGC turut memaklumkan menerusi televisyen negara pihaknya berjaya menahan empat kapal yang cuba melalui laluan perairan strategik berkenaan.
Sementara itu, tentera AS mengesahkan mereka melancarkan serangan ke atas Iran untuk malam ketujuh berturut-turut, dengan menyatakan operasi berkenaan bertujuan melemahkan keupayaan ketenteraan Iran, menurut kenyataan Komando Pusat AS (CENTCOM) yang dimuat naik di platform X.
Dalam peningkatan terbesar konflik sejak kedua-dua pihak kembali bermusuhan, Iran menuduh tentera AS menyasarkan infrastruktur awam termasuk sebuah lapangan terbang, stesen kereta api dan dua jambatan, selain mendakwa telah menyerang aset AS di seluruh rantau berkenaan.
Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump, mengancam untuk menyerang infrastruktur Iran, namun sehingga Jumaat tiada pengesahan daripada pihak AS operasi sedemikian telah dilaksanakan.
Penasihat kanan ketenteraan kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Mejar Jeneral Mohsen Rezaei, berkata Teheran akan melancarkan semula operasi ofensif berskala penuh sekiranya serangan AS berterusan untuk tempoh dua atau tiga hari lagi.
“Iran tidak lagi akan mengehadkan tindak balasnya kepada serangan balas yang setimpal… dan tiada sempadan politik yang akan selamat,” katanya menurut agensi berita Iran, IRIB.
Konflik itu tercetus pada 28 Februari apabila AS dan Israel melancarkan serangan yang mengorbankan ramai nyawa di Iran. Tehran kemudian bertindak balas dengan menutup sebahagian besar Selat Hormuz, laluan perkapalan penting bagi perdagangan minyak dunia, selain melancarkan serangan ke atas Israel dan kepentingan AS di rantau Teluk.- AFP




