SHAH ALAM – Larian Kesyukuran yang digerakkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya mengatasi sasaran kutipan sumbangan apabila mengumpul sebanyak RM361,848 dalam tempoh dua hari.
Jumlah itu jauh melebihi sasaran awal sebanyak RM200,000 yang ditetapkan bagi tempoh empat hari menerusi inisiatif berkenaan.
Syed Saddiq berkata, beliau sendiri terkejut dengan sokongan luar biasa yang diterima daripada rakyat yang bukan sahaja menyumbang, malah turut memberikan semangat sepanjang larian tersebut.
Menurutnya, perjalanan hari ketiga yang bermula dari Labu, Negeri Sembilan melalui Seremban dan Pedas sebelum berakhir di Kota, memberi cabaran besar apabila tubuhnya mengalami kekejangan.
“Hari ini badan memang tersiksa. Cramp (kekejangan) datang satu badan dan ada masa saya sendiri rasa sangat susah untuk teruskan.
“Sekarang ketika saya rakam video ini pun, saya masih boleh rasa cramp itu nak datang,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Syed Saddiq berkata, keadaan menjadi lebih mencabar apabila hujan lebat ketika beliau tiba di Pedas.
Bagaimanapun katanya, semangatnya kembali apabila melihat masih ramai yang sanggup menunggu di tepi jalan untuk memberikan sokongan.
“Untuk tiga kilometer terakhir menuju ke Kota saya sudah tidak mampu nak berlari dan terpaksa berjalan, tapi apabila sampai dan nampak lautan manusia menunggu semangat itu datang balik.
“Sepanjang perjalanan ada mak cik dan pak cik yang datang hulurkan wang tunai kepada kami, sumbangan paling kecil yang kami terima pula 50 sen,” ujarnya.
Beliau berkata, pada peringkat awal pihaknya merancang menyediakan bantuan berjumlah RM200,000, namun kutipan meningkat membolehkan bantuan diperluaskan.
Menurutnya, lebihan dana itu akan digunakan untuk melipatgandakan bantuan kepada masyarakat di Muar
“Terima kasih semua dan terima kasih Malaysia. Ini bukan lagi perjalanan saya seorang, tetapi perjalanan kita bersama,” katanya.



