Agro Penjaja-i bantu lebih ramai penjaja, peniaga kecil

Agro Penjaja-i bantu lebih ramai penjaja, peniaga kecil

KUALA LUMPUR – Lebih ramai penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara bakal menikmati akses pembiayaan, latihan keusahawanan serta kemudahan digital menerusi inisiatif Agro Penjaja-i.

Inisiatif itu merupakan hasil kerjasama strategik antara Agrobank dan Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM).

Kerjasama tersebut bertujuan memperluaskan manfaat inisiatif berkenaan kepada komuniti penjaja dan peniaga kecil serta menyokong pertumbuhan perniagaan mereka serta merancakkan ekonomi setempat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, masih ramai penjaja dan peniaga kecil mempunyai perniagaan berdaya maju, namun berdepan kekangan dari segi modal, pengurusan kewangan dan penggunaan kemudahan digital.

Beliau berkata, kerjasama strategik ini menjadi langkah penting bagi Agrobank dan GPPPKMM untuk berganding bahu dalam memperkukuh sokongan kepada mereka melalui akses kewangan yang lebih inklusif dan membantu mengembangkan perniagaan dan menyumbang kepada ekonomi setempat.

“Bagi penjaja dan peniaga kecil, pembiayaan sahaja tidak mencukupi, mereka juga memerlukan pengetahuan untuk mengurus kewangan, bimbingan keusahawanan dan kemudahan digital yang praktikal.

“Oleh itu, Agro Penjaja-i menggabungkan sokongan tersebut ke arah perniagaan yang lebih mampan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Agrobank dan Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) di sini pada Jumaat.

Ahmad Badli Shah (duduk dari kiri) ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Agrobank dan Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) di sini pada Jumaat.

Ahmad Badli Shah (duduk dari kiri) ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Agrobank dan Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) di sini pada Jumaat.

Katanya, Agro Penjaja-i menawarkan pelbagai kemudahan termasuk Skim Pembiayaan Mikro sehingga RM100,000, Kemudahan Kredit Cashline-i sehingga RM5,000 serta pembiayaan Ar-Rahnu sehingga RM300,000 dengan kadar keuntungan istimewa dan laluan khas.

“Peserta turut menikmati latihan percuma secara fizikal dan dalam talian menerusi program Celik Kewangan serta Celik Usahawan.

“Selain itu, peserta turut menerima bimbingan selama tiga bulan, khidmat nasihat pensijilan halal dan pakej DuitNow QR SoundBox pada kadar istimewa,” katanya.

Menurutnya, sejak diperkenalkan pada Mei lalu, Agro Penjaja-i merekodkan deposit AgroSaudagar melebihi RM1 juta membabitkan 488 akaun.

“Dalam tempoh sama, sebanyak 370 pendaftaran perbankan digital Agrobank dan 311 pengaktifan DuitNow QR Agrobank berjaya direkodkan.

“Kemudahan itu turut mencatatkan 14,248 transaksi bernilai lebih RM200,000, selain 82 unit QR SoundBox diagihkan kepada penjaja, dari aspek pembiayaan mikro pula, sebanyak 70 akaun pembiayaan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan melebihi RM2 juta,” katanya.

Jelasnya, Agrobank turut mempergiatkan pendekatan turun padang menerusi Skim Usahawan Tani Agrobank x FAMA yang telah melaksanakan 10 sesi libat urus di pasar tani terpilih di seluruh negara.

“Hasil sesi berkenaan, Agrobank menerima 274 permohonan pembiayaan mikro dengan nilai keseluruhan RM10.6 juta.

“Kerjasama dengan persatuan, agensi dan rakan strategik akan terus diperkukuh bagi memperluas manfaat pembiayaan serta pembangunan perniagaan kepada komuniti penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara,” katanya.

Scroll to Top