Trump kritik taktikal Tuchel

Trump kritik taktikal Tuchel

New York: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menjadi individu terbaru mengkritik taktikal England ketika tewas kepada Argentina pada separuh akhir Piala Dunia.

Trump secara berseloroh mempersoalkan keputusan pengendali England, Thomas Tuchel yang menggunakan pendekatan lebih bertahan selepas pasukannya mendahului perlawanan menentang Argentina, Rabu lalu.

Bercakap pada satu majlis di New York bersama Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, Trump turut menyebut nama kapten England, Harry Kane yang pernah bermain golf bersamanya di Florida kira-kira 18 bulan lalu.

“England mempunyai seorang pemain hebat yang pernah bermain golf bersama saya, Harry.

“Mungkin mereka melakukan kesilapan apabila menjadikannya pemain bertahan. Apa yang saya tahu mengenai bola sepak?” katanya.

“Mereka mendahului perlawanan, kemudian mengambil pemain terbaik mereka dan meletakkannya di bahagian pertahanan.

“Kita perlu lebih menyerang, bukan? Apa yang saya tahu mengenai kejurulatihan?” katanya lagi.

Tuchel sebelum ini menerima kritikan hebat selepas mengeluarkan dua pemain penyerang dan memasukkan pemain pertahanan dalam tempoh 30 minit terakhir ketika menentang Argentina.

Keputusan itu menyaksikan England lebih banyak bertahan walaupun Kane terus berada di atas padang.

Argentina memanfaatkan situasi itu apabila Lionel Messi mencipta dua bantuan gol yang membawa kemenangan sekali gus membawa juara bertahan itu ke final.

Bagaimanapun, Tuchel menegaskan beliau tidak menyesali keputusan taktikal yang dibuat.

“Tidak, saya tidak menyesali keputusan itu. Saya merasakan kami mula bermain terlalu pasif.

“Saya hanya cuba membantu pasukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top