PRN N. Sembilan: “Kita tak tebuk atap, kita buka atap baru untuk 2026” -Zahid

PRN N. Sembilan: “Kita tak tebuk atap, kita buka atap baru untuk 2026” -Zahid

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan mengenai hala tuju politik baharu gabungan itu menjelang 2026.

BN tak amal politik tebuk atap

Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, beliau menegaskan BN tidak mengamalkan politik ‘tebuk atap’, sebaliknya mahu membina masa depan yang lebih kukuh menerusi mandat rakyat.

“Kita tak tebuk atap, kita buka atap baru untuk 2026. Kita mahu kembalikan kerajaan negeri kepada BN dan memajukan semula negeri ini,” katanya yang disambut dengan sorakan gemuruh ‘Hidup BN’ oleh penyokong yang hadir.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan bagi membakar semangat jentera parti sebelum tiga calon BN di bawah Parlimen Rembau bergerak ke Pusat Penamaan Calon.

Kenyataan itu hadir susulan dakwaan sebelum ini bahawa UMNO melakukan ‘tebuk atap’ selepas menarik sokongan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, sekali gus menyebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan bagi memberi laluan kepada rakyat memilih kerajaan negeri yang baharu.

Di bawah Parlimen Rembau, BN mempertaruhkan Datuk Zaifulbahri Idris di DUN Chembong, Datuk Seri Mohamad Hasan di DUN Rantau dan Suhaimi Aini di DUN Kota.

Ucap terima kasih kepada jentera

Selesai berucap, Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan kepada jentera dan penyokong yang hadir mengiringi calon-calon BN.

“Terima kasih, terima kasih,” katanya ringkas sambil melambaikan tangan kepada lautan penyokong berbaju biru.

BN bertanding di 25 daripada keseluruhan 36 kerusi DUN, manakala baki 11 kerusi ditandingi rakan politik baharunya, Perikatan Nasional.

Suasana di pusat penamaan calon turut berlangsung meriah apabila penyokong mengiringi calon-calon berjalan kaki untuk menyerahkan borang pencalonan masing-masing.

Scroll to Top