Prestasi, rekod Aminuddin antara fokus kempen PH – Fahmi

Prestasi, rekod Aminuddin antara fokus kempen PH – Fahmi

JEMPOL: Kesinambungan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan serta prestasi Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menjadi antara fokus utama kempen gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pelbagai perubahan yang dibawa Aminuddin kepada rakyat negeri itu menjadi kekuatan PH dalam usaha mendapatkan semula mandat rakyat.

“Bagi PH, fokus kita adalah kepada kejayaan dan keupayaan Datuk Seri Aminuddin. Beliau melaksanakan banyak perubahan serta peningkatan dari segi ekonomi, kutipan zakat dan pembangunan.

“Saya percaya kestabilan yang beliau bawa, tiada skandal, tiada isu, tiada masalah sepanjang lapan tahun beliau mentadbir.

“Saya lihat ini perlu diteruskan supaya ada kesinambungan serta hubungan erat antara negeri dan persekutuan. Ini akan menjadi antara perkara yang akan kita kempen sepanjang PRN,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas proses penamaan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serting, Palong, Jeram Padang dan Bahau di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol hari ini.

Mengulas mengenai kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN), Fahmi berkata, perkara itu tidak menjadi penghalang kepada PH untuk mempertahankan pentadbiran negeri berkenaan.

“Jentera pilihan raya hadir dan bersedia mempertahankan kerajaan PH di Negeri Sembilan. Saya lihat keadaan aman terkawal dan saya harap untuk tempoh dua minggu akan datang.

“Semua kempen sama ada secara fizikal atau dalam talian, elakkan fitnah dan memainkan isu 3R (agama, raja dan kaum). Kita harap semua berjalan dengan baik,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top