Ejen Salah nafi capai persetujuan dengan Besiktas

Ejen Salah nafi capai persetujuan dengan Besiktas

London: Ejen Mohamed Salah menafikan laporan yang mendakwa bekas bintang Liverpool itu sudah mencapai persetujuan untuk menyertai Besiktas, sambil menegaskan masa depan pemain berkenaan masih belum diputuskan.

Salah menamatkan kontraknya bersama Liverpool secara persetujuan bersama pada penghujung musim lalu, sekali gus mengakhiri sembilan tahun yang penuh gemilang di Anfield.

Sejak menyertai Liverpool daripada Roma pada 2017, penyerang Mesir itu membantu kelab memenangi dua gelaran Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara Eropah, Piala FA, Piala Liga Inggeris, Piala Super UEFA, Piala Dunia Kelab FIFA dan Perisai Komuniti.

Sepanjang bersama Liverpool, Salah membuat 315 penampilan dalam Liga Perdana Inggeris, rekod kelima terbanyak dalam sejarah kelab di belakang Jamie Carragher (508), Steven Gerrard (504), Jordan Henderson (360) dan Sami Hyypia (318).

Beliau juga menjadi antara hanya 10 pemain dalam sejarah Liga Perdana Inggeris yang muncul penjaring terbanyak dan pencipta bantuan gol terbanyak bagi sebuah kelab, dengan 191 gol serta 93 bantuan jaringan.

Salah yang pernah terbabit dalam pertelingkahan terbuka dengan bekas pengurus Liverpool, Arne Slot pada pertengahan musim lalu sehingga digugurkan daripada skuad, turut dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Pro Saudi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Semalam, beberapa laporan mendakwa pemain berusia 34 tahun itu sudah bersetuju menyertai gergasi Liga Super Turkiye, Beşiktaş.

Bagaimanapun, ejennya, Ramy Abbas Issa segera menafikan dakwaan itu menerusi platform X.

“Saya sendiri tidak tahu Mohamed akan bermain dengan kelab mana musim depan. Apa yang boleh anda simpulkan daripada kenyataan itu?” katanya.

Dalam satu lagi hantaran terdahulu, Abbas turut menjelaskan mereka tidak akan mengadakan rundingan dengan mana-mana kelab yang tidak menjadi pilihan Salah semata-mata untuk mencetuskan perhatian.

“Itu bukan cara kami. Kami tidak berbincang dengan kelab yang Mohamed sendiri tidak mahu sertai hanya untuk mencetuskan sensasi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top