Kerjasama BN-PN elak pecah undi, ideologi parti tetap kekal – Ka Siong

Kerjasama BN-PN elak pecah undi, ideologi parti tetap kekal – Ka Siong

SEREMBAN – Kerjasama strategik Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan diadakan bagi mengelakkan pertembungan pelbagai penjuru yang boleh menyebabkan kekacauan politik serta perpecahan undi.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, matlamat persefahaman itu adalah untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil, kukuh dan berkaliber bagi memastikan pembangunan berterusan di Negeri Sembilan.

Namun katanya, ia tidak bermaksud kedua-dua gabungan itu bergabung, sebaliknya setiap parti kekal dengan ideologi, pendirian dan peranan semak serta imbang masing-masing.

“MCA menyertai persefahaman ini bagi memastikan masyarakat Cina, masyarakat majmuk, pendidikan vernakular dan kebebasan beragama terus mempunyai wakil serta suara dalam kerajaan.

“Persefahaman ini berlandaskan kepentingan rakyat, bukannya sokongan tanpa syarat. MCA akan menentang mana-mana dasar yang menjejaskan hak dan kepentingan rakyat majmuk di Malaysia,” katanya pada sidang media di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, apa yang diperlukan rakyat ketika ini bukanlah pertelingkahan politik yang berpanjangan, sebaliknya sebuah kerajaan yang mampu menyelesaikan pelbagai isu termasuk bekalan air, jalan raya, banjir, peluang pekerjaan, urusan perniagaan dan kos sara hidup.

Ujarnya lagi, PRN Negeri Sembilan memberi peluang kepada rakyat memilih wakil rakyat yang benar-benar berkemampuan, peka terhadap isu rakyat serta mampu menunaikan janji.

“MCA akan terus berpegang teguh kepada prinsip dengan berani memainkan peranan semak dan imbang, menyelesaikan masalah rakyat, menghormati kepelbagaian, menunaikan janji serta bersedia menerima pandangan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berpandangan sekiranya Kerajaan Perpaduan pada masa ini sekadar menjadi perkongsian kuasa antara parti politik tetapi gagal melaksanakan reformasi dan menyelesaikan masalah rakyat, maka ia hanyalah sebuah perpaduan yang hipokrit.

Selain itu, Ka Siong mendakwa, tindakan DAP yang sekian lama meraih sokongan melalui politik melabel dan retorik berunsur konfrontasi menjadi antara faktor yang mendorong kepada sentimen masyarakat serta perpecahan politik yang semakin meruncing.

Menurutnya, perpecahan politik hanya akan membuka ruang yang lebih besar kepada fahaman ekstrem.

“BN adalah satu-satunya parti yang mampu menyatukan kuasa pertengahan, mempertahankan masyarakat majmuk dan membina sebuah kerajaan yang stabil.

“Jangan biarkan kekacauan politik terus membuka ruang ekstrem yang lebih besar. Pilih kestabilan BN dan pertahankan kemajmukan Negeri Sembilan,” katanya.

Scroll to Top