JELEBU: Barisan Nasional (BN) akan memberi tumpuan kepada aspek pembangunan, pendidikan, kesejahteraan rakyat serta usaha menangani isu kos sara hidup menerusi manifesto bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, manifesto BN kali ini berteraskan pendekatan ‘way forward’ dengan memberi penambahbaikan terhadap beberapa segmen yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Seperti yang kita hadapi sekarang ini dalam Kerajaan Perpaduan bagi tempoh dua tahun lapan bulan, secara keseluruhannya peratusan itu adalah daripada manifesto BB yang telah pun kita terjemahkan.
“Maka pada kali ini, penambahbaikan kepada beberapa segmen tentunya yang berkaitan dengan pembangunan, pendidikan, kesejahteraan dan juga kestabilan rakyat diberikan perhatian.
“Apatah lagi kepada perkara yang melibatkan pendapatan untuk menyelesaikan masalah kos sara hidup rakyat, terutama dalam kalangan orang miskin, orang susah dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas proses penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, Pertang, Sungai Lui dan Klawang di Dewan Besar Kuala Klawang, Jelebu hari ini.
Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, BN turut memberi perhatian terhadap usaha menaik taraf peniaga kecil supaya mereka mampu menjana pendapatan yang sesuai sekali gus menambah baik keadaan ekonomi negeri.
Katanya, keselesaan masyarakat di peringkat akar umbi merupakan penyumbang terbesar kepada kestabilan dan kesejahteraan negeri bagi memberi peluang kepada pemimpin yang diberi mandat menguruskan kerajaan negeri dalam keadaan lebih selesa.
“Manifesto BN bagi PRN Negeri Sembilan dijangka dilancarkan pada 24 Julai ini yang dijadualkan berlangsung di DUN Linggi,” katanya. – UTUSAN




