Prestasi PRN Negeri Sembilan bakal tentukan hala tuju kerjasama BN-PN di Melaka

Prestasi PRN Negeri Sembilan bakal tentukan hala tuju kerjasama BN-PN di Melaka

JEMPOL – Prestasi kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan menjadi penentu sama ada model kerjasama itu akan diteruskan pada PRN Melaka, negeri lain serta Pilihan Raya Umum (PRU).

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, landskap politik sentiasa berubah dan sebarang keputusan mengenai peluasan kerjasama itu akan bergantung kepada keputusan yang dicapai pada PRN Negeri Sembilan.

“Kita akan lihat prestasinya di Negeri Sembilan kerana politik ini adalah sangat dinamik.

“Maka kita akan menyusun jajaran yang mungkin untuk Melaka dan untuk negeri-negeri lain pula. Apatah lagi kalau Pilihan Raya Umum 16 (PRU-16) nanti,” katanya dalam sidang akhbar selepas selesai merasmikan Program GEMA @ KKDW peringkat Negeri Sembilan 2026 di Felda Palong 8 pada Sabtu.

Ahmad Zahid (duduk dari tengah) dalam sidang akhbar selepas selesai merasmikan Program GEMA @ KKDW peringkat Negeri Sembilan 2026 di Felda Palong 8 pada Sabtu.

Ahmad Zahid (duduk dari tengah) dalam sidang akhbar selepas selesai merasmikan Program GEMA @ KKDW peringkat Negeri Sembilan 2026 di Felda Palong 8 pada Sabtu.

Beliau berkata, ketika ini kerjasama BN dan PN di Negeri Sembilan hanya berasaskan persefahaman bagi mengelakkan pertindihan kerusi dan bukannya melalui sebarang perjanjian rasmi yang mengikat kedua-dua gabungan.

Ahmad Zahid turut berharap persefahaman yang terjalin bukan sahaja diterjemahkan oleh jentera parti, malah mendapat sokongan pengundi kedua-dua pihak bagi memastikan kemenangan gabungan itu pada PRN kali ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, BN menawarkan rekod pentadbiran negeri yang pernah dicapai sebelum ini sebagai sandaran kepada rakyat Negeri Sembilan.

Beliau berkata, prestasi berkenaan masih berada di bawah purata pertumbuhan ekonomi negara dan berharap mandat yang diberikan akan membolehkan pencapaian seperti di Johor dan Pahang diterjemahkan di Negeri Sembilan.

“Kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Sembilan sebanyak 4.6 peratus masih berada di bawah purata nasional iaitu 5.2 peratus, manakala Johor mencatatkan pertumbuhan sekitar lapan peratus di bawah pentadbiran BN.

“Jadi kita memberikan tawaran kepada seluruh rakyat agar apa yang berlaku di Johor dan Pahang akan dapat dilakukan di Negeri Sembilan jika mandat dapat diberikan kepada BN untuk mentadbir negeri ini,” katanya. 

Scroll to Top