London: Penyiar dan personaliti televisyen Britain, Piers Morgan, menggelar pemain Argentina sebagai ‘tiada kelas’ serta berharap Sepanyol menewaskan mereka pada final Piala Dunia 2026, sama seperti kemenangan Britain ke atas Argentina dalam Perang Falklands.
Selepas kemenangan 2-1 Argentina ke atas England pada separuh akhir Piala Dunia 2026 di Atlanta, beberapa pemain Argentina meraikan kejayaan bersama penyokong dengan mengangkat sepanduk bertulis “Las Malvinas Son Argentinas” (Malvinas milik Argentina), menurut laporan The Guardian.
Malvinas ialah nama yang digunakan Argentina bagi Kepulauan Falkland, wilayah seberang laut yang ditadbir United Kingdom tetapi sejak sekian lama dituntut Buenos Aires. Tindakan pemain Argentina mempamerkan mesej berunsur politik di atas padang mencetuskan kontroversi meluas.
Menerusi platform X, semalam Morgan memuat naik kenyataan pedas yang menyasarkan Argentina. Dia melabel pemain negara itu sebagai ‘tiada kelas’ dan berharap Sepanyol membelasah mereka pada final, sambil menyamakan situasi itu dengan kemenangan Britain dalam Perang Falklands.
Hantaran itu meraih lebih dua juta tontonan dalam tempoh beberapa jam, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan penyokong kedua-dua negara. Sebelum kenyataan Morgan, kapten Argentina, Lionel Messi, berkata kemenangan ke atas England mempunyai makna yang amat besar buat rakyat negaranya.
Morgan turut membuat ulasan sepanjang aksi separuh akhir yang penuh sengit itu. Pada awal perlawanan, ketika Messi kurang menyerlah, Morgan secara sinis mempersoalkan sama ada bintang itu benar-benar berada di atas padang.
Apabila permainan semakin rancak, Morgan mengkritik keras corak permainan fizikal Argentina. Dia mempersoalkan keputusan pengadil dengan mendakwa Argentina sepatutnya menerima lima kad kuning dan menuduh mereka bermain secara kasar tanpa dikenakan tindakan sewajarnya.
Selepas Anthony Gordon meletakkan England di depan, Morgan memuji pengendali England, Thomas Tuchel, dengan menyifatkannya memenangi pertarungan taktikal dan menggesa agar bola sepak dibawa pulang’ ke England.
Namun, keadaan berubah sepenuhnya pada penghujung perlawanan apabila Messi mencipta bantuan gol kepada Enzo Fernandez untuk menyamakan kedudukan sebelum menghantar lintangan yang disudahkan Lautaro Martinez bagi memastikan kemenangan 2-1 dan membawa Argentina ke final. Selepas itu, ramai pengguna media sosial mengejek hantaran awal Morgan.
Ciapan Morgan yang memuji Tuchel itu turut meraih lebih 10 juta tontonan, dengan ramai pengguna secara sinis membalas bahawa Tuchel sememangnya ‘membawa England pulang’ selepas tersingkir.
Morgan, 61, ialah penyiar dan hos televisyen terkenal di United Kingdom yang pernah mengendalikan rancangan seperti America’s Got Talent serta beberapa program lain. Beliau juga dikenali menerusi temu bual berprofil tinggi, termasuk bersama Cristiano Ronaldo pada November 2022, apabila bintang Portugal itu mendakwa dirinya dikhianati Manchester United.
Morgan bukan satu-satunya tokoh yang mengkritik sambutan pemain Argentina. Bekas pemain tengah England, Peter Reid, turut mengecam tindakan mereka. Dalam wawancara bersama BBC Breakfast, Reid menyifatkan paparan sepanduk berkaitan Falklands selepas perlawanan sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.
© New Straits Times Press (M) Bhd




