Lelaki cedera parah, kereta dipandu dihempap pokok

Lelaki cedera parah, kereta dipandu dihempap pokok

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Lelaki berusia 43 tahun cedera selepas kereta Honda Accord dipandunya dihempap pokok yang tumbang berhampiran Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, di sini, malam ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada jam 10.11 malam sebelum mengarahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak ke lokasi bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT).

Komander Operasi JBPM Kuala Lumpur, Mohd Rohafizam Othman berkata, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati sebatang pokok tumbang menghempap sebuah kereta Honda Accord yang mempunyai seorang mangsa di dalamnya.

“Anggota operasi berjaya mengeluarkan mangsa pada jam 10.47 malam.

“Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan kaki sebelum diserahkan kepada ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.24 malam sebelum lokasi diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top