am@hmetro.com.my
Jempol : Biarpun mempunyai pengalaman mengetuai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) suatu ketika dahulu, R Sri Sanjeevan mengakui banyak perbezaan apabila menyertai parti politik.
Calon BERSATU Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang itu berkata, NGO bergerak dalam satu kumpulan yang kecil, manakala parti politik dalam satu pasukan yang besar dengan ideologi perjuangan lebih besar.
“Saya pula bukan sehari dua berada dalam arena politik, tetapi sudah 15 tahun. Namun, dari tahun 2016 hingga 2019, saya ambil keputusan untuk berehat.
“Ketika menyertai sebuah NGO berkaitan jenayah, saya sudah aktif berpolitik,” katanya yang menyertai BERSATU pada 2019.
Sanjeevan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU berkata, DUN Jeram Padang sangat dekat di hatinya disebabkan kampung halamannya terletak di dalam DUN berkenaan.
Mengulas lanjut, Sanjeevan berkata, beliau akan membentangkan manifesto BERSATU DUN Jeram Padang tidak lama lagi.
Katanya, manifesto berkaitan antaranya infrastruktur, kebajikan dan pekerjaan yang juga masalah utama di DUN Jeram Padang ketika ini.
“Kita mahu perubahan itu dapat dibuat sekiranya BERSATU menang. Namun, cabaran ini bukan mudah kerana saya berdepan pertandingan empat penjuru membabitkan calon yang tidak kurang hebat termasuk penyandang dari Barisan Nasional,” katanya.
Justeru, tegasnya, berbekal gerak kerja dengan turun padang menemui pengundi di DUN ini sejak dua tahun lalu, pengundi diharap dapat memberi kepercayaan kepadanya untuk menang di sini.
Katanya, biarpun ini kali pertama bertanding, pengundi DUN Jeram Padang sebelum ini datang berjumpanya dan mahu dirinya menjadi calon.
“Kita harap pengundi akan membuat keputusan yang bijak pada 1 Ogos nanti,” katanya.
Sanjeevan berkata, persekitaran hidup bersama masyarakat Melayu sejak kanak-kanak menyebabkan beliau fasih bertutur Bahasa Melayu.
Beliau yang juga Ketua Bersekutu BERSATU Bahagian Jempol berkata, tiada masalah baginya menyertai BERSATU yang kebanyakan ahli adalah Melayu berikutan sudah memahami adat resam dan tradisi mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




