Qinzhou, China: Tindakan berani seorang lelaki yang sanggup berenang selama tiga jam meredah banjir demi memastikan keselamatan ibu bapanya menyentuh hati jutaan penduduk di China, lapor South China Morning Post.
Banjir yang melanda wilayah autonomi Guangxi Zhuang di selatan China akibat hujan lebat berterusan serta kejadian beberapa empangan pecah dilaporkan meragut 39 nyawa selain menjejaskan hampir 400,000 penduduk.
Antara 3 hingga 6 Julai lalu, jumlah taburan hujan terkumpul di selatan Guangxi mencecah antara 400 milimeter (mm) hingga 600 mm manakala bandar Qinzhou merekodkan jumlah hujan melebihi 800 mm.
Pada 6 Julai, lelaki berusia 30 tahun yang hanya dikenali sebagai Xie bertindak berenang selama tiga jam sambal berpaut pada tiub tayar lori bagi meredah kawasan banjir untuk memeriksa keadaan orang tuanya di sebuah kampung di Qinzhou dengan ditemani seorang rakan.
Katanya, dia dan dua adik-beradiknya tinggal di kawasan bandar manakala ibu bapa mereka menetap di sebuah kampung yang terletak 10 kilometer (km) dari kawasan itu.
Menurut Xie, ibunya menghubunginya pada malam sebelum kejadian untuk memaklumkan bahawa bapanya keluar menyelamatkan padi yang baru dituai, namun masih belum pulang ke rumah sehingga menimbulkan kebimbangan.
Kampung berkenaan sudah pun ditenggelami air banjir sehingga paras tingkat satu rumah manakala hujan lebat berterusan turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik dan terputusnya isyarat telefon bimbit.
Xie berkata, dia gagal menghubungi ibu bapanya selepas itu dan tidak dapat melelapkan mata sepanjang malam kerana bimbang bapanya yang berusia 63 tahun mungkin dihanyutkan arus banjir.
Menurutnya, dia bersama rakannya mengambil masa sejam untuk berenang sejauh satu kilometer (km) terakhir menuju ke rumah ibu bapanya selepas membeli dua tiub tayar lori baharu di sebuah kedai di bandar sebelum memulakan perjalanan.
Sebaik tiba di rumah, mereka mendapati paras air banjir meningkat dengan pantas sehingga memerangkap bapanya di tingkat atas bangunan berkenaan.
Xie berkata, bapanya tersenyum apabila melihat kedatangannya, namun perkara pertama yang dilakukannya adalah memarahi warga emas itu kerana sanggup mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan padi.
Dia kemudian membantu bapanya melalui laluan sempit di belakang rumah sebelum mereka bergerak perlahan-lahan pulang ke kediaman mereka yang terletak di atas bukit sebelum Xie pulang semula ke bandar pada hari sama selepas memastikan ibu bapanya berada dalam keadaan selamat.
Walaupun sudah mahir berenang, Xie berkata, dia tetap berasa takut ketika mengharungi air banjir yang sejuk selain menyifatkan pengalaman berenang selama tiga jam itu sebagai sesuatu yang amat meletihkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




