redzuan.muharam@hmetro.com.my
Johor Bahru: “Saya sudah menganggapnya seperti anak jadi bersyukur dengan jalan dipilih.
“Saya doakan Allah SWT lindunginya dan semoga dia terus istiqamah.”
Demikian harapan Nor Izzalwati Abdullah, 45, ketika berkongsi kisah penghijrahan bekas pelajarnya, Muhammad Shamalan, 25, yang sah memeluk Islam kelmarin.
Khabar gembira itu dikongsikan Nor Izzalwati menerusi satu hantaran di media sosial dan mendapat perhatian ramai dengan rata-rata warganet menitipkan doa buat Muhammad Shamalan.
Dalam perkongsian sama, Nor Izzalwati turut berkongsi gambar ketika hadir ke majlis konvokesyen Muhammad Shamalan sekali gus menunjukkan hubungan akrab wanita itu dengan anak dididiknya.
Berkongsi kisah sebenar, Nor Izzalwati yang juga guru Matematik di sebuah sekolah menengah dekat sini berkata, Muhammad Shamalan adalah bekas pelajarnya dan dia pernah menjadi guru kelas ketika pemuda itu belajar di Tingkatan Lima.
Bagaimanapun, Nor Izzalwati dari Bandar Uda Utama, di sini berkata, dia menghormati pegangan dan kepercayaan Muhammad Shamalan jadi tidak pernah mendorong jauh sekali mempengaruhi anak didiknya untuk memeluk Islam.
“Muhammad Shamalan tak pernah cakap dengan saya nak masuk Islam cuma dalam perbualan kami, dia sering doakan saya semoga dirahmati Allah SWT.
“Tapi saya anggap ia sebagai doa yang baik saja dan memang terkejut selepas dapat kiriman mesej daripadanya kelmarin memberitahu dia sudah buat benda yang baik.
“Waktu itu, saya tengah memandu dan minta anak bacakan mesej sebelum Muhammad Shamalan berterus terang yang dia sudah memeluk Islam.
“Kami berdua terkejut tapi bersyukur kerana Muhammad Shamalan akhirnya menerima hidayah.
“Kemudian, saya tanya apa yang menggerakkan hatinya untuk memeluk Islam kerana tak nak dia masuk (Islam) sebab saya kerana tanggungjawab itu besar.
“Dia beritahu yang Allah SWT sudah takdirkan dirinya dengan Islam malah menuntut ilmu agama sebelum bergelar mualaf lagi ,” katanya kepada Harian Metro.
Bercerita lanjut, Nor Izzalwati berkata, Muhammad Shamalan pelajar yang baik dan pendiam ketika di kelas dahulu.
Bagaimanapun, Nor Izzalwati mengakui Muhammad Shamalan anak didik yang sering bertanya khabar dengannya selepas tamat persekolahan.
“Nak kata kami rapat waktu di sekolah tidak juga tapi mungkin dia selesa dengan saya.
“Tapi dia selalu mesej saya menerusi aplikasi Messenger di Facebook (Fb) untuk bertanya khabar walaupun selepas belajar di Tingkatan Enam menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Perfileman di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
“Saya layan saja dan boleh dikatakan setiap semester atau nak menduduki peperiksaan, dia akan mesej saya dan minta doakannya. Dia pun selalu cakap dia anak saya dan saya emaknya,” katanya.
Lantaran itu, Nor Izzalwati membuat kejutan dengan hadir bersama anak sulungnya, Nurul Iman Najwa Mohammad Irwan ke majlis konvokesyen Muhammad Shamalan di UNIMAS tahun lalu.
“Saya tak beritahunya pun dan selepas beli tiket penerbangan baru maklumkannya kerana tak berani berjanji.
“Saya ke sana kerana sudah berniat nak meraikan kejayaannya pada hari konvokesyen dan waktu itu pergi berdua saja dengan anak.
“Keluarga saya mengenali Muhammad Shamalan malah saya pernah bawanya beraya bersama ke rumah kawan,” katanya.
Sebagai guru, Nor Izzalwati akan terus mendoakan kejayaaan Muhammad Shamalan baik di dunia mahupun di akhirat kelak.
“Saya pun berharap semoga dia dipertemukan orang yang baik dan mendapat bimbingan daripada mereka yang arif dalam agama.
“Kami akan terusberhubung dan Muhammad Shamalan pun minta saya doakannya dipertemukan jodoh dengan wanita solehah satu hari nanti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




