KANGAR: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis tidak akan berkompromi terhadap pihak yang terbabit dalam kes buli seorang pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah menengah di negeri ini, Khamis lalu.
Pengarah Pendidikan negeri, Rose Aza Che Arifin berkata, pihaknya mengambil perhatian serius dakwaan insiden salah laku tersebut yang mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan.
Katanya, JPN Perlis menyerahkan kes berkenaan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sedia memberikan kerjasama penuh terhadap proses siasatan yang sedang berjalan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang bersalah. Pada masa sama, kebajikan murid yang menjadi mangsa dalam insiden ini diberi sepenuh perhatian.
“Masyarakat diseru untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh mengganggu proses siasatan polis,” katanya di sini hari ini.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan, tiga pelajar tingkatan satu sebuah sekolah di negeri ini direman dua hari bagi membantu siasatan berkaitan kes buli.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, mangsa telah memaklumkan kepada pengadu iaitu ibunya bahawa telah dibuli sejak beberapa bulan lepas.
Kata Yusharifuddin, tiga pelajar yang terlibat didakwa telah membuli mangsa dengan menendang, memukul, membaling dua buah tong sampah besar di bahagian badan dan kepala serta turut meludah anak pengadu.
Rose Aza berkata, JPN Perlis sentiasa komited dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid, guru serta seluruh warga institusi pendidikan di bawah kelolaannya terjamin.-UTUSAN




