KOTA KINABALU: Isu pengalihan utiliti dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyebabkan kelewatan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, pengalihan itu bukan sahaja membabitkan pemindahan tiang dan aset elektrik, malah turut merangkumi kabel telekomunikasi serta pelbagai aset utiliti lain di sepanjang jajaran pembinaan.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti berkata, kerja-kerja pembinaan tidak dapat dilaksanakan di kawasan yang masih mempunyai utiliti sedia ada kerana melibatkan aspek keselamatan, risiko gangguan bekalan dan kemungkinan kerosakan kepada infrastruktur utiliti.
“Justeru, utiliti perlu dialihkan terlebih dahulu sebelum kerja-kerja pembinaan dapat diteruskan.
“Proses pengalihan utiliti bukan sekadar melibatkan pemindahan aset, malah turut merangkumi pengesahan kedudukan utiliti, penyediaan reka bentuk, kelulusan teknikal, penyediaan koridor utiliti, penyelarasan dengan pemilik utiliti serta pelaksanaan kerja-kerja pengalihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Chin Shu Ying (ADUN Dilantik) berhubung punca kelewatan penyiapan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah serta langkah diambil bagi mengatasinya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Dalam pada itu, Joachim berkata, proses pengalihan utiliti memerlukan penyelarasan rapi antara semua pihak bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar tanpa menjejaskan kesinambungan perkhidmatan kepada pengguna.
Selain itu, katanya faktor lain seperti pengambilan tanah, keadaan geoteknik di lokasi tertentu, penyelesaian isu teknikal di tapak serta prestasi kontraktor turut mempengaruhi kemajuan projek. – UTUSAN




