
Ahmad (belakang, lapan dari kanan) dan tetamu kehormat bergambar bersama barisan jurulatih Kontinjen Malaysia.
SHAH ALAM – Kontinjen Malaysia ke pertandingan kemahiran antarabangsa, WorldSkills Competition (WSC) Shanghai 2026, kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi menggalas cabaran memartabatkan nama negara di persada dunia.
Kejohanan berprestij antarabangsa itu berlangsung pada 22 hingga 27 September di National Exhibition and Convention Center (NECC), Shanghai, China, menyaksikan 22 wira dan wirawati muda negara bersaing dalam 21 bidang kemahiran.
Penyertaan mereka bukan sekadar persaingan biasa, malah melambangkan perjuangan memikul maruah serta aspirasi seluruh tenaga belia Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tanah air.
Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Chef De Mission (CDM) Kontinjen Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, menyeru peserta membuat anjakan minda daripada fasa latihan kepada fasa persaingan teknikal sebenar.
“Perbezaan antara pemenang pingat emas dengan peserta lain bukan terletak pada keunggulan fizikal atau kecanggihan peralatan semata-mata, melainkan berpaksikan tiga peratus aspek teknikal dan 97 peratus ketahanan mental,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Penyampaian Amanat, Pelepasan Kontinjen dan Solat Hajat yang berlangsung di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), di sini pada Khamis.
Pada majlis sama, Ahmad berkata, kerajaan turut mengumumkan struktur ganjaran dan insentif bagi pemenang pingat, pakar serta jurulatih yang bakal membawa cabaran negara.
Beliau berkata, pemenang pingat emas akan menerima ganjaran tunai asal RM40,000, sebelum ditambah RM10,000 lagi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menjadikan jumlah keseluruhan RM50,000.
Selain ganjaran tunai, pemenang pingat emas turut dihadiahkan sebuah kereta Perodua Myvi bernilai RM40,000, menjadikan nilai keseluruhan insentif menghampiri RM100,000.
Katanya, insentif kenderaan Myvi baharu itu diselaraskan menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR).

Ahmad (belakang, tujuh dari kanan) dan tetamu kehormat bergambar bersama semua peserta yang mewakili Malaysia ke Worldskills Competition Shanghai 2026.
“Kalau dapat satu emas, nilai ganjaran hampir RM100,000. Jika berjaya meraih 22 emas, saya kena usahakan 22 buah Myvi. Saya boleh minta bantuan daripada PLUS dan syarikat konsesi lebuh raya,” katanya.
Bagi pemenang pingat perak, ganjaran tunai yang disediakan adalah RM20,000 berserta tambahan RM5,000, selain sebuah motosikal elektrik terbaik yang diselaraskan di bawah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Pemenang pingat gangsa pula bakal menerima RM10,000, manakala penerima Medallion for Excellence membawa pulang RM4,000.
Tambahan RM4,000 lagi turut diberikan kepada peserta negara yang berjaya meraih anugerah Best of Nation iaitu peserta Malaysia dengan markah tertinggi dalam pertandingan tersebut.
Tiga teras utama pegangan setiap peserta
Ahmad turut menegaskan pengorbanan barisan pakar dan jurulatih tidak dilupakan apabila masing-masing diperuntukkan ganjaran tunai RM10,000 bagi setiap pingat emas yang diraih oleh peserta bimbingan mereka.
“Pakar dan jurulatih yang melatih hari-hari turut menerima RM10,000. Ini kerana kepimpinan melihat apa yang orang lain tidak nampak,” katanya.
Bagi memastikan kejayaan berpihak kepada Kontinjen Malaysia, tiga teras utama ditetapkan sebagai pegangan setiap peserta sepanjang bersaing di Shanghai.
Teras pertama ialah pengurusan emosi dan zero-reset, iaitu kemampuan mengawal emosi secara pantas dengan membuang sebarang kesilapan lalu bagi menumpukan fokus sepenuhnya pada cabaran hari berikutnya.
Teras kedua membabitkan penguasaan skim pemarkahan dan disiplin prosedur dengan memastikan kriteria teknikal dipatuhi serta mengelakkan kecuaian kecil (minor errors) yang boleh menjejaskan kutipan mata berharga.
Teras ketiga ialah penjagaan kesihatan dan disiplin diri bagi memastikan tahap kecergasan fizikal serta mental sentiasa optimum menerusi kawalan pemakanan, waktu rehat yang mencukupi dan penyesuaian dengan persekitaran.

Ahmad mengibarkan Jalur Gemilang simbolik merasmikan Majlis Penyampaian Amanat, Perlepasan Kontinjen dan Solat Hajat di CIAST pada Khamis.
Mengulas peranan pakar dan jurulatih, Ahmad menekankan kepentingan mereka bertindak secara proaktif bukan sahaja sebagai penasihat teknikal, malah sebagai benteng emosi yang kukuh kepada peserta dengan memanfaatkan kerjasama pasukan strategik serta pegawai kaunselor yang dilantik.
Pendekatan itu penting bagi membina keyakinan diri peserta, menghapuskan rasa gentar dan rendah diri, seterusnya memastikan mereka tampil dengan kemahiran berkualiti tinggi, berjiwa kental serta tidak mudah mengalah dalam menghadapi cabaran.
Kontinjen membawa mesej penting
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) merangkap Official Delegate (OD) Kontinjen Malaysia, Ir Ts Dr Kamaruzaman Md Ali pula menegaskan, penyertaan kali ini adalah sebuah misi besar negara serta kesinambungan momentum kecemerlangan daripada kejayaan di WorldSkills ASEAN Manila 2025 dan WorldSkills Asia Taipei 2025.
Beliau turut memberi dorongan serta peringatan mesra kepada peserta yang disifatkannya sebagai “elit TVET negara”.
Sesi perlepasan itu turut menyaksikan gandingan mantap kepimpinan kontinjen menerusi kerjasama padu antara KKR dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui JPK selaku Sekretariat Bersama WorldSkills Malaysia.
Kontinjen Malaysia dijangka berlepas ke Shanghai pada 19 September 2026 membawa tekad membara untuk menjulang pingat emas buat negara, sebelum saingan dinoktahkan pada majlis penutup di Shanghai Expo Culture Centre kelak.

