PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Selangor diminta mendedahkan hasil siasatan kemasukan, jumlah dan destinasi babi hidup yang dibawa masuk dari Sarawak melalui Pelabuhan Klang.
Presiden Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (Grass Malaysia), Mohd. Yusaimi Md. Yusof berkata, maklumat mengenai pihak pengimport, permit berkaitan serta lokasi pemindahan ternakan selepas diturunkan di pelabuhan juga perlu diperincikan.
Beliau berkata, kerajaan negeri Selangor wajar menetapkan tempoh siasatan dan memaklumkannya kepada umum.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Kerajaan negeri wajar memaklumkan perkembangan siasatan dan keputusan akhirnya agar isu ini tidak berlarutan akibat kekurangan maklumat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, kerajaan Selangor dilaporkan sedang menyiasat kemasukan babi hidup dari Sarawak melalui Pelabuhan Klang sejak Julai lalu bagi mengenal pasti destinasi sebenar ternakan itu sebelum menentukan tindakan susulan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sebahagian ternakan berkenaan hanya transit di Selangor sebelum dihantar ke negeri lain.
Katanya, berdasarkan laporan yang diterima menunjukan Selangor turut dijadikan pintu masuk import bagi memenuhi keperluan negeri-negeri lain.
Ia susulan laporan media yang mengatakan kerajaan negeri membenarkan kemasukan import ternakan babi selepas beberapa lesen import diluluskan, termasuk bagi ternakan hidup dari Sarawak namun ia tertakluk kepada syarat ketat yang ditetapkan.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri, Datuk Ir Izham Hashim dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor memaklumkan lesen import sudah diluluskan termasuk bagi ternakan hidup dari Sarawak, dengan anggaran sekitar 800 ekor seminggu.
Ternakan tersebut tidak dibenarkan singgah di mana-mana lokasi dan perlu terus dihantar ke pusat sembelihan di Rawang.
Cadangan itu bagaimanapun mendapat bantahan keras termasuk dari Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dengan pengurusan dan pengendalian babi hidup secara terbuka di kawasan pelabuhan bukan sahaja mewujudkan risiko pencemaran alam sekitar, malah menyentuh sensitiviti umat Islam khususnya pekerja pelabuhan dan penduduk berhampiran.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini bertitah bahawa tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri ini.
Baginda mencadangkan agar hanya daging babi diimport bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam di negeri ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusaimi turut mencadangkan audit kebersihan dan alam sekitar bagi memeriksa keseluruhan sistem pengurusan sisa, saliran, bau serta kemungkinan pelepasan bahan buangan ke sungai berhampiran.
“Sekiranya terdapat aduan pencemaran, pensampelan air perlu dijalankan dan hasil yang boleh didedahkan kepada orang awam hendaklah diumumkan.
“Jabatan Alam Sekitar (JAS) mempunyai fungsi pemantauan kualiti air marin dan saluran aduan rasmi,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Yusaimi berkata, penguatkuasaan berhubung isu kemasukan babi hidup juga perlu melibatkan semua agensi berkaitan.
“Jika terdapat pelanggaran, tindakan hendaklah berdasarkan bukti dan undang-undang, bukan tekanan politik atau sentimen semata-mata,” katanya. – UTUSAN




