London: Bintang Sepanyol, Alexia Putellas membuktikan dirinya masih antara pemain terbaik dunia apabila meraih anugerah Ballon d’Or ketiga dalam kariernya, sekali gus melengkapkan kebangkitan selepas bergelut dengan kecederaan serius.
Pemain berusia 32 tahun itu menerima pengiktirafan berkenaan di London, awal pagi tadi selepas kembali mempamerkan prestasi cemerlang bersama Barcelona musim lalu.
Alexia sebelum ini memenangi anugerah pemain wanita terbaik dunia pada 2021 dan 2022 bersama Barcelona yang mendominasi bola sepak wanita Eropah.
Bagaimanapun, kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) ketika membuat persiapan membantu Sepanyol memburu kejuaraan Euro 2022 menjejaskan perjalanan kariernya ketika berada di kemuncak prestasi.
Dia kembali beraksi dan menjadi sebahagian daripada skuad Sepanyol yang menjuarai Piala Dunia 2023, namun terpaksa menunggu hampir dua tahun untuk mendapatkan semula prestasi terbaiknya apabila rakan sepasukan, Aitana Bonmati, lebih menyerlah bersama kelab dan negara.
Bonmati kemudian mengambil alih status pemain terbaik dunia apabila memenangi tiga anugerah Ballon d’Or berturut-turut dari 2023 hingga 2025 sebelum turut tersisih akibat kecederaan patah kaki.
Peluang itu dimanfaatkan Alexia yang kembali menjadi tonggak penting Barcelona sehingga membantu kelab berkenaan merampas kejuaraan Liga Juara-Juara musim lalu dengan aksi dominan.
“Sejak mengalami kecederaan itu, saya cuba menikmati setiap detik seolah-olah ia mungkin yang terakhir kerana kita tidak tahu sama ada perkara itu akan berulang,” katanya kepada AFP dalam satu temu bual bulan lalu.
Selepas mencipta pelbagai kejayaan bersama Barcelona, Alexia memilih cabaran baharu apabila menyertai London City Lionesses, kelab milik ahli perniagaan Amerika Syarikat, Michele Kang.
Alexia mengakui perpindahan berkenaan membawa perubahan besar dalam kehidupannya, termasuk perlu menyesuaikan diri dengan budaya, bahasa dan persekitaran baharu.
“Saya tahu bila masanya untuk meninggalkan Barcelona, tidak masuk akal untuk mengulangi pengalaman sama dalam fasa seterusnya kerana perkara itu mustahil.
“Ia perlu sesuatu yang benar-benar berbeza. Ini sebuah kelab yang baharu sepenuhnya dan banyak perkara masih belum ditentukan, jadi saya cuba membawa budaya kemenangan serta mentaliti itu bersama saya,” katanya.
Kehadirannya mula memberikan impak apabila London City Lionesses berada di belakang Chelsea dan Manchester City dalam carta WSL, mengatasi kelab gergasi seperti Arsenal.
© New Straits Times Press (M) Bhd




