Keusahawanan hari ini jauh berbeza berbanding sedekad yang lalu. Semakin ramai individu memulakan perniagaan berasaskan minat mereka dan mentakrifkan semula maksud kejayaan.
Mereka mengusahakan perniagaan dengan penuh optimistik, kreativiti dan keinginan untuk mencorakkan masa depan mereka dengan lebih baik.
Tetapi, sikap optimistik sahaja belum cukup untuk membina perniagaan yang boleh berkembang maju.
Usahawan yang berjaya, sama ada mengendalikan syarikat sepenuh masa ataupun menguruskan bisnes sampingan, adalah mereka yang mengubah matlamat besar menjadi disiplin harian.
Inilah amalan yang kerap dilihat dalam kalangan pengusaha yang bukan sahaja bermula dengan bersungguh-sungguh, tetapi berjaya mengekalkan semangat kesungguhan itu.
Menurut Pengarah Kanan dan Pengurus Besar, Herbalife Malaysia dan Singapura, Steven Chin, sepanjang kerjayanya yang menyokong beribu-ribu pemilik perniagaan dan usahawan bebas di Malaysia, beliau mengenal pasti satu corak yang jelas.
“Kejayaan sering kali tidak dicapai dalam sekelip mata tetapi dibina menerusi tabiat konsisten yang dilakukan berterusan dan membawa manfaat terkumpul. Berikut lima tabiat positif usahawan berjaya,” katanya.
1. Mulakan Hari dengan niat yang betul
Usahawan yang berjaya memulakan hari mereka dengan matlamat yang jelas. Mereka merancang keutamaan sebelum perkara lain mengganggu tumpuan.
Langkah mudah itu mewujudkan momentum awal dan menetapkan hala tuju untuk sepanjang hari.
Apabila anda memulakan hari dengan niat yang betul, setiap tindakan tidak kira betapa kecil ia membawa anda lebih hampir kepada matlamat.
2. Sentiasa pupuk sifat ingin tahu dan terus belajar
Usahawan terbaik tidak pernah berhenti menimba ilmu. Mereka sentiasa bersedia untuk mempelajari kemahiran baharu, mendapat perspektif baharu.
Selain meneroka idea yang boleh membantu mereka melangkah maju secara peribadi dan profesional.
Dalam persekitaran yang berubah dengan pantas hari ini, sifat ingin tahu amat penting. Sama ada anda mengikuti kelas latihan, belajar daripada mentor atau meneliti cara baharu untuk berkhidmat kepada pelanggan, pembelajaran berterusan membolehkan anda terus menyesuaikan diri dan menjadi lebih yakin.
3. Bina hubungan yang berkekalan
Hubungan yang erat menjadi asas bagi setiap perniagaan yang berjaya. Usahawan yang hebat memimpin dengan keprihatinan, kepekaan dan keikhlasan.
Pemimpin paling berkesan berupaya meluangkan masa untuk memahami pelanggan dan pasukan masing-masing.
Mereka mendengar, mengambil tindakan susulan dan benar-benar berminat melabur dalam kejayaan orang lain.
Apabila anda memberi tumpuan dalam menjalinkan hubungan sebelum berurus niaga, anda sebenarnya membina kesetiaan berpanjangan yang menjangkaui sekadar satu transaksi jualan.
4. Kekal konsisten dalam situasi mencabar
Setiap usahawan menghadapi cabaran seperti jualan merosot, keraguan berkenaan keupayaan diri dan matlamat yang berubah.
Bekerja secara konsisten tidak bermaksud bekerja tahap henti, sebaliknya ia bermakna menghormati komitmen dan mengekalkan fokus walaupun dalam keadaan sukar.
usaha bukannya keputusan.
5. Raikan kemenangan yang dicapai
Usahawan lazimnya memberi tumpuan pada matlamat tetapi kejayaan bukan sahaja bermaksud sampai ke garisan penamat semata-mata. Kejayaan juga bermaksud anda menyedari bahawa pertumbuhan dicapai dalam perjalanan anda menuju ke puncak
Meluangkan sedikit masa untuk meraikan kemenangan kecil seperti minggu yang produktif atau kejayaan peribadi membantu meningkatkan motivasi dan rasa bersyukur.
© New Straits Times Press (M) Bhd




