Dalam kehidupan masyarakat Arab, unta bukan sekadar haiwan tunggangan, malah menjadi sumber kekayaan, pengangkutan dan kelangsungan hidup. Unta betina yang bunting pula mempunyai nilai yang tinggi kerana bakal menambah bilangan ternakan pemiliknya. Namun, al-Quran mengemukakan gambaran yang luar biasa tentang haiwan ini ketika menceritakan peristiwa Hari Kiamat. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Takwir, ayat 4: “Dan apabila unta-unta yang bunting ditinggalkan tanpa dijaga.”
Ayat ini adalah sebahagian daripada rangkaian gambaran tentang peristiwa besar yang berlaku menjelang kiamat. Perkataan al-‘ishār merujuk kepada unta betina yang bunting, manakala ‘uṭṭilat membawa maksud ditinggalkan atau tidak lagi diberikan perhatian.
Haiwan yang lazimnya dijaga dengan teliti itu digambarkan seolah-olah tidak lagi dipedulikan. Gambaran ini memperlihatkan perubahan luar biasa dalam keadaan manusia ketika berhadapan dengan peristiwa yang mengatasi segala urusan duniawi mereka.
Apabila sesuatu yang berharga tidak lagi dipedulikan
Keindahan gambaran al-Quran terletak pada pemilihan sesuatu yang dekat dengan pengalaman masyarakat untuk menjelaskan kedahsyatan perkara yang belum mereka alami. Bagi masyarakat Arab ketika itu, unta bunting adalah aset penting yang tidak akan dibiarkan tanpa penjagaan dalam keadaan biasa.
Apabila haiwan yang begitu bernilai digambarkan ditinggalkan, kita pasti dapat membayangkan betapa gentingnya keadaan ketika peristiwa tersebut berlaku. Perhatian manusia yang lazimnya tertumpu pada harta dan kepentingan diri tidak lagi berada pada kedudukan yang sama. Gambaran ini bukan bermaksud manusia diperintahkan untuk mengabaikan harta atau tanggungjawab ketika hidup di dunia. Sebaliknya, ayat tersebut membawa pembaca merenungkan betapa terbatasnya nilai material apabila berhadapan dengan ketetapan Allah SWT.
Ibrah pertama: Kekayaan perlu disertai tanggungjawab
Unta bunting boleh menjadi simbol kepada pelbagai bentuk kekayaan dalam kehidupan moden seperti rumah, simpanan, perniagaan dan pelaburan. Semua ini mempunyai nilai yang sah dan boleh membantu manusia membina kehidupan yang sejahtera. Islam tidak melarang umatnya mencari kekayaan. Namun, harta perlu diperoleh melalui cara yang halal dan digunakan secara bertanggungjawab. Kekayaan yang disertai kejujuran, zakat, sedekah dan keprihatinan terhadap masyarakat mampu menjadi saluran kebaikan.
Sebaliknya, apabila pengumpulan harta menjadi matlamat mutlak, manusia berisiko mengabaikan perkara yang lebih penting, termasuk keluarga, kesihatan, ibadah dan hak orang lain. Oleh itu, persoalan yang perlu ditanya bukan sekadar berapa banyak harta yang dimiliki, tetapi sejauh mana harta tersebut membawa manfaat. Nilai kekayaan tidak hanya terletak pada jumlah pemilikan, malah pada cara ia diurus dan sumbangannya kepada kehidupan.
Ibrah kedua: Susun keutamaan sebelum terlambat
Manusia sering menangguhkan perkara yang dianggap boleh dilakukan kemudian. Ada yang menangguhkan permohonan maaf, mengabaikan hubungan kekeluargaan atau melengahkan usaha memperbaiki diri kerana terlalu sibuk mengejar sasaran duniawi.
Gambaran dalam Surah al-Takwir mengingatkan kita bahawa kehidupan tidak sentiasa berjalan mengikut jangkaan. Manusia tidak mengetahui bilakah ajalnya akan tiba, sedangkan masa dan peluang yang dimiliki hari ini tidak semestinya berulang. Kesedaran ini sepatutnya mendorong kita menyusun keutamaan dengan lebih bijaksana. Tanggungjawab terhadap Allah SWT, keluarga, pekerjaan dan masyarakat perlu dilaksanakan seiring dengan usaha mencari rezeki dan mencapai kejayaan.
Sebagai contoh, seorang ketua organisasi bukan sahaja dinilai melalui pencapaian institusi, tetapi juga melalui amanah dan keadilan dalam membuat keputusan. Begitu juga ibu bapa yang bukan sekadar menyediakan keperluan material, malah perlu memberikan perhatian kepada pendidikan dan pembentukan akhlak anak-anak.
Kejayaan yang bermakna ialah kejayaan yang tidak mengorbankan tanggungjawab dan nilai kemanusiaan.
Ibrah ketiga: Persediaan akhirat bermula dengan amalan harian
Kepercayaan terhadap Hari Kiamat bukan sekadar pengetahuan tentang peristiwa yang akan berlaku pada masa hadapan. Ia sepatutnya membentuk cara manusia bertindak pada hari ini. Dalam hal ini, persediaan menghadapi hari akhirat adalah merangkumi ibadah, akhlak dan tanggungjawab sosial iaitu; dengan menunaikan solat, berlaku jujur dalam urusan kewangan, menjauhi penindasan, membantu golongan yang memerlukan dan memelihara hak sesama manusia adalah antara amalan yang mencerminkan penghayatan terhadap keimanan.
Dalam dunia pekerjaan, kesedaran tentang pertanggungjawaban di hadapan Allah SWT boleh menjadi asas kepada budaya integriti. Seseorang tidak sepatutnya memanipulasi maklumat, menyalahgunakan kuasa atau mengkhianati amanah semata-mata kerana peluang untuk berbuat demikian terbuka. Nilai sebenar peringatan tentang akhirat terletak pada perubahan yang dihasilkannya. Apabila pengetahuan mendorong seseorang menjadi lebih amanah, adil dan prihatin, maka peringatan tersebut telah diterjemahkan kepada amalan yang nyata.
Surah al-Takwir ayat 4 ini tidak berdiri secara terasing. Ayat sebelumnya menyebut tentang matahari yang digulung, bintang-bintang yang gugur dan gunung-ganang yang digerakkan. Ayat selepasnya pula menyebut tentang binatang-binatang liar yang dihimpunkan. Susunan ini memperlihatkan rangkaian gambaran perubahan besar pada alam dan kehidupan ketika menjelang Kiamat. Oleh itu, ayat tentang unta bunting perlu difahami dalam konteks keseluruhan surah, bukan sekadar sebagai pernyataan mengenai haiwan tersebut.
Pada masa sama, ayat ini tidak wajar digunakan untuk membuat ramalan tentang tarikh Kiamat atau mengaitkan setiap kejadian luar biasa pada masa kini dengan tanda khusus bahawa Kiamat hampir berlaku. Tumpuan utamanya ialah mesej wahyu tentang kedahsyatan peristiwa tersebut dan kesedaran yang sepatutnya lahir dalam diri manusia.
Justeru, gambaran unta bunting yang ditinggalkan dalam Surah al-Takwir, ayat 4, memperlihatkan kekuatan bahasa al-Quran dalam menyampaikan hakikat besar melalui sesuatu yang dikenali masyarakat. Haiwan yang bernilai tinggi itu menjadi gambaran tentang perubahan keutamaan manusia ketika berhadapan dengan peristiwa Kiamat.
Tiga pengajaran utama dapat diambil: mengurus kekayaan dengan amanah, menyusun keutamaan kehidupan dan membina persediaan akhirat melalui amalan harian. Ketiga-tiganya saling melengkapi dalam membentuk kehidupan yang seimbang antara tuntutan dunia dengan tanggungjawab kepada Allah SWT. Akhirnya, peringatan tentang Kiamat seharusnya membawa manusia kepada tindakan, bukan sekadar renungan. Selagi peluang masih terbuka, gunakanlah harta untuk kebaikan, masa untuk perkara yang bermanfaat dan kedudukan untuk menegakkan amanah. Itulah antara bekalan yang wajar dibina sebelum manusia kembali menghadap Allah SWT.
Penulis Timbalan Pengarah USIM Alamiyyah (International Office) USIM
© New Straits Times Press (M) Bhd




