New York: Pemain tengah Sepanyol, Mikel Merino, mencuri perhatian apabila meniru gerakan tarian ikonik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sejurus menerima trofi Piala Dunia selepas kemenangan ke atas Argentina.
Trump yang sebelum ini tular dengan gerakan tariannya ketika lagu YMCA dimainkan, sekali lagi memperagakan aksi berkenaan di pentas penyampaian trofi selepas menyerahkan trofi kepada kapten Sepanyol, Rodri.
Selepas bersalaman dengan setiap pemain Sepanyol, Trump mengangkat tangan dan melakukan tarian yang sudah sinonim dengannya.
Merino, yang juga pemain Arsenal, dilihat terhibur dengan aksi itu sebelum turut meniru gerakan tarian Trump, sekali gus mencetuskan gelak tawa dalam kalangan rakan sepasukan.
Momen berkenaan pantas tular di media sosial dengan ramai penyokong memberikan pelbagai reaksi.
Seorang pengguna menulis: “Merino melakukan tarian Trump benar-benar membuatkan saya ketawa.”
Seorang lagi menyifatkan: “Mikel Merino menari tarian Trump betul-betul di sebelahnya. Memang bersejarah.”
Manakala seorang lagi berkata: “Jangan pernah berubah, Mikel Merino.”
Sementara itu, penyerang Sepanyol, Borja Iglesias, sebelum final sempat berseloroh bahawa dia hanya akan berjabat tangan dengan Trump kerana tidak mahu ‘masuk penjara’.
Pada aksi final, Ferran Torres muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan untuk memastikan Sepanyol menewaskan Argentina 1-0 dan menjulang trofi Piala Dunia buat kali kedua.
© New Straits Times Press (M) Bhd




