Dakwaan pertikaian tanah Orang Asli Kampung Cot tidak seperti digambarkan

Dakwaan pertikaian tanah Orang Asli Kampung Cot tidak seperti digambarkan

KUANTAN: Dakwaan berhubung isu pertikaian tanah yang dikaitkan dengan masyarakat Orang Asli di Kampung Cot, Mukim Luit, Maran dekat sini tidak menggambarkan keseluruhan fakta dan latar belakang sebenar kes tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, penempatan itu merupakan sebuah kampung serpihan yang tidak berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Menurutnya, berdasarkan rekod Jakoa, terdapat 12 penama Orang Asli yang mengusahakan tanah di kawasan berkenaan, selaras dengan tuntutan bertulis yang dikemukakan sendiri oleh mereka kepada jabatan tersebut.

“Pada masa yang sama, tanah berkenaan sudah dipohon oleh sebuah syarikat dan permohonannya diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Ke-32/2015 bertarikh 4 November 2015.

“Bagi menangani isu yang timbul, JAKOA telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama penama Orang Asli yang terlibat bagi mencari jalan penyelesaian terhadap pertindihan tuntutan antara mereka dengan syarikat yang telah menerima kelulusan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Syed Ibrahim berkata, hasil perbincangan awal mendapati hanya enam orang penama masih meneruskan tuntutan melalui Jakoa.

“Dalam sesi perbincangan tersebut, penama terbabit mendakwa kawasan berkenaan merupakan tanah adat mereka. Walau bagaimanapun, dakwaan itu tidak dapat disahkan oleh pihak berkuasa yang berkaitan berdasarkan rekod dan fakta yang ada.

“Rekod juga menunjukkan mereka telah mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit di kawasan seluas kira-kira 30 ekar tanpa kebenaran yang sah,” katanya.

Menurutnya, untuk makluman, enam penama Orang Asli yang masih mengemukakan tuntutan tersebut berasal dari Kampung Orang Asli Paya Besar, Maran, Kampung Orang Asli Paya Bungor, Kuantan dan Kampung Orang Asli Bukit Rok, Bera, bukannya daripada Kampung Cot.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri tetap mengambil pendekatan yang adil dan bertanggungjawab dengan meminta Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG), Jakoa serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Maran meneliti kemungkinan bantuan yang bersesuaian daripada pihak syarikat kepada penama yang terlibat.

“Kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa isu ini telah diberikan perhatian sejak awal melalui pelbagai siri libat urus dan perbincangan bersama semua pihak berkepentingan,” jelasnya.

Beliau berkata, setiap tindakan diambil adalah berpandukan kepada peruntukan undang-undang, fakta dan prinsip keadilan, di samping memastikan kebajikan masyarakat Orang Asli terus dipelihara tanpa mengenepikan keputusan yang sudah dibuat oleh Pihak Berkuasa Negeri.

“Kerajaan negeri berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat. Ruang sewajarnya perlu diberikan kepada agensi-agensi berkaitan untuk menyelesaikan isu ini secara profesional, berlandaskan undang-undang dan semangat muafakat demi memastikan hak semua pihak terus dihormati,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, kerajaan negeri sentiasa komited dalam memelihara kebajikan, hak dan kepentingan masyarakat Orang Asli melalui kerjasama bersepadu antara Jakoa, PTG Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta Pahang Orang Asli Corporation (ORACO).

Menurutnya, sebarang isu atau pertikaian yang timbul akan ditangani secara berhemah, berlandaskan undang-undang dan melalui pendekatan libat urus bagi mencari penyelesaian yang terbaik demi kepentingan semua pihak.

“Komitmen itu terbukti melalui keputusan MMK pada 1 November 2017 yang bersetuju mewartakan 76 kampung Orang Asli di bawah Seksyen 7(1) dan 141 kampung Orang Asli di bawah Seksyen 6(1) Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).

“Sehingga kini, negeri Pahang mempunyai 264 kampung Orang Asli dengan lebih 90,000 penduduk berdaftar. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 30 kampung sudah selesai diwartakan di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 7 Akta Orang Asli 1954 serta Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN),” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top