Polis Negeri Sembilan tahan lelaki muat naik hantaran 3R di media sosial

Polis Negeri Sembilan tahan lelaki muat naik hantaran 3R di media sosial

am@hmetro.com.my

Seremban: Polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), hari ini menahan seorang lelaki yang disyaki memuat naik hantaran berunsur penghinaan serta menyentuh isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) di aplikasi Threads.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata lelaki berusia 52 tahun itu ditahan pada jam 1 tengah hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban bagi membantu siasatan dan turut merampas sebuah telefon bimbit milik untuk siasatan lanjut.

“Polis menerima laporan berhubung hantaran dimuat naik di media sosial yang mengandungi kenyataan berunsur penghinaan serta menyentuh sensitiviti institusi diraja Negeri Sembilan semalam.

“Siasatan awal mendapati hantaran itu dimuat naik pada 17 Julai lalu dan pengadu menyedari kewujudan hantaran berkenaan kira-kira jam 9 malam kelmarin ketika berada di sebuah restoran di kawasan Senawang, di sini, sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan di sini.

Alzafny berkata, suspek akan dibawa ke mahkamah di sini, esok bagi permohonan reman mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan tidak mengeluarkan atau menyebarkan sebarang kenyataan yang menyentuh isu 3R sehingga menjejaskan ketenteraman awam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top