am@hmetro.com.my
Seremban: Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka turun berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Rabu ini.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata Anwar dijadualkan menyertai siri program kempen PH di Sikamat dan Paroi.
Beliau berkata, ketidakhadiran Anwar pada pelancaran manifesto PH Negeri Sembilan malam ini bukan satu isu kerana pimpinan negeri mampu meneruskan agenda dirancang.
“Takkan hari-hari saya nak bawa Datuk Seri Anwar Ibrahim ke sini. Kita sudah dimaklumkan beliau akan hadir pada Rabu. Insya-Allah kita bertemu di Sikamat dan Paroi dalam majlis yang besar.
“Kita sudah buktikan, kita sudah siapkan manifesto. Tak tunggu lama. Kita nak sampaikan kepada rakyat, ini bukti kita, ini janji kita dan Insya-Allah kita mampu laksanakan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Manifesto PH Negeri Sembilan, malam ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi PH, Anthony Loke; Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari: Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh serta Naib Presiden AMANAH, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli.
Terdahulu, Aminuddin yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi melancarkan manifesto bertemakan ‘Kekal Harapan’ yang menggariskan 10 komitmen utama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




