am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Mimi Lana mengakui kini lebih berhati-hati dalam membuat keputusan berkaitan kerjaya selepas bergelar isteri dengan mendapatkan pandangan suaminya, pelakon Syafiq Kyle, sebelum menerima sebarang tawaran lakonan.
Menurut Mimi atau nama sebenarnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 31, perubahan itu termasuk membabitkan adegan romantik seperti babak berpegangan tangan dengan pelakon Indonesia, Adipati Dolken dalam filem terbaharunya, Mojoku Hilang!
“Saya rasa kalau nak cakap mengenai perkara itu, filem ini sebenarnya kami jalani penggambaran sebelum saya berkahwin. Tapi selepas berkahwin, memang banyak benda yang berubah daripada segi keputusan yang saya buat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Gala Filem Mojoku Hilang!, di sini.
Mimi berkata, jika sebelum ini dia bebas membuat keputusan sendiri, kini setiap tawaran akan dibincangkan terlebih dahulu bersama suaminya sebagai tanda hormat terhadap rumah tangga yang dibina.
“Dulu saya bukan isteri orang. Sekarang saya dah jadi isteri orang. Jadi banyak perkara yang saya kena bincang dulu dengan suami,” katanya.
Bagaimanapun, pelakon itu menjelaskan filem Mojoku Hilang! tidak pernah menjadi isu kerana penggambarannya sudah selesai sebelum mereka mendirikan rumah tangga.
Katanya, sehingga kini dia juga belum menerima sebarang tawaran untuk membintangi karya bergenre romantik sejak bergelar isteri.
“Filem ini kami sudah ‘shoot’ lama pada Januari 2025 dan selepas kahwin saya belum menerima apa-apa tawaran projek romantik komedi.
“Jadi saya pun tak tahu lagi macam mana perbincangan dengan suami kalau ada tawaran seperti itu pada masa depan,” katanya.
Menurut Mimi, komunikasi dan sikap saling menghormati menjadi asas penting dalam rumah tangga, termasuk dalam soal membuat keputusan berkaitan kerjaya.
“Selepas kahwin, saya rasa setiap keputusan yang saya buat perlulah dibincangkan dengan suami dulu. Itu perkara yang saya pegang sekarang,” katanya.
Untuk rekod, Mimi dan Syafiq berkahwin pada 14 Februari tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




