Ezeiza, Argentina: Sebahagian besar skuad bola sepak Argentina tiba di tanah air, semalam, dengan ribuan penyokong setia menunggu untuk menyambut kepulangan mereka selepas tewas 0-1 kepada Sepanyol pada final Piala Dunia.
Persatuan Bolasepak Argentina (AFA) sebelum ini memaklumkan beberapa pemain tidak menaiki penerbangan sama, manakala kelibat bintang sensasi, Lionel Messi, juga tidak kelihatan turun dari pesawat berdasarkan rakaman yang disiarkan televisyen tempatan.
Ketua jurulatih Lionel Scaloni bersama barisan pemain lain disambut dengan hamparan permaidani merah sebaik tiba sebelum diiringi pancaragam tentera.
Ribuan penyokong sanggup mengharungi cuaca sejuk dan hujan dengan menunggu di luar pusat latihan AFA berhampiran lapangan terbang sambil mengibarkan bendera Argentina serta membawa payung berwarna biru dan putih.
Walaupun kepulangan kali ini tidak seindah sambutan selepas muncul juara Piala Dunia 2022 apabila jutaan rakyat membanjiri jalan raya untuk meraikan kejayaan itu, ramai tetap hadir bagi menghargai usaha dipamerkan skuad kebangsaan.
“Rakyat Argentina tetap akan meraikannya,” kata suri rumah, Marga Ledezma, 36, yang turut berterima kasih kepada Messi atas segala kegembiraan yang diberikan sepanjang mewakili negara sambil berharap kapten itu tidak bersara daripada aksi antarabangsa.
Argentina tewas 0-1 kepada Sepanyol sekali gus gagal mempertahankan gelaran Piala Dunia dalam perlawanan yang turut menerima kritikan media antarabangsa susulan banyak kekasaran serta aksi tidak bersukan dipamerkan skuad Albiceleste.
“Saya fikir mereka mengkritik kami kerana mereka tahu bagaimana kami berdepan kesukaran. Kami bangkit, jatuh semula dan terus berjuang,” kata Ledezma.
Ramai penyokong menganggap kemenangan sebenar Argentina adalah kejayaan menewaskan England 2-1 pada separuh akhir, perlawanan yang berlangsung ketika pertikaian berhubung kedaulatan Kepulauan Falkland antara kedua-dua negara masih berlarutan.
“Pasukan ini menyatukan kami semua dan kami perlu menghargainya. Kami akan sentiasa bersama mereka tidak kira hujan atau panas. Saya cuma ingin mengucapkan terima kasih kepada Messi kerana sudah memberikan segala-galanya,” kata pekerja kilang tekstil, Leonardo Barrientos, 36.
Maria Ortiz, 28, yang hadir bersama anaknya berusia dua tahun untuk menyambut kepulangan skuad kebangsaan, mengakui Sepanyol sememangnya layak muncul juara, namun tetap bangga dengan apa yang dipamerkan Argentina sepanjang kejohanan.
Walaupun kecewa dengan kekalahan itu, ribuan rakyat Argentina tetap berhimpun di Obelisk di Buenos Aires, lokasi tradisi sambutan negara itu, untuk meraikan perjuangan pasukan mereka selama beberapa jam pada malam Ahad dengan pertunjukan bunga api serta laungan penghargaan kepada skuad kebangsaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




