Kes tikam Banting : Polis siasat aspek kewujudan komuniti, kumpulan dorong kejadian tikam

Kes tikam Banting : Polis siasat aspek kewujudan komuniti, kumpulan dorong kejadian tikam

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Polis sedang menyiasat aspek kewujudan komuniti atau kumpulan tertentu sehingga mendorong kepada kejadian seorang pelajar perempuan ditikam di sebuah sekolah di Banting, Kuala Langat, awal bulan ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan berkenaan menjurus kepada tangkapan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun bagaimanapun, dia dibebaskan selepas polis mendapati tiada pembabitan antara suspek dan kes berkenaan.

“Siasatan untuk mengetahui sekiranya wujud komuniti-komuniti ataupun kumpulan-kumpulan yang menjadi penyebab kepada kenapa suspek bertindak sedemikian.

“Ini mungkin membabitkan rakan-rakan yang berbincang dalam satu kumpulan borak WhatsApp ataupun yang boleh bertukar-tukar pendapat, cadangan, sehingga boleh mendorong suspek untuk bertindak sedemikian rupa (menikam rakan hingga parah).

“Ini tidak membabitkan individu di sekolah yang sama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Selangor, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis turut menjalankan siasatan dalaman berhubung penyebaran nota-nota yang dipercayai ditulis suspek kes berkenaan di media sosial.

Katanya, nota berkenaan adalah sebahagian daripada ekshibit kes justeru penyebarannya di media sosial perlu disiasat oleh PDRM.

Sementara itu, Shazeli berkata, mangsa yang parah ditikam dalam kejadian pada 6 Julai lalu dalam fasa pemulihan dan dibenarkan keluar dari hospital pada 13 Julai lalu.

“Alhamdulillah, mangsa sedang menjalani proses pemulihan yang semakin baik bersama keluarga di kediaman mereka,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun cedera selepas dipercayai ditikam sebanyak 16 kali oleh rakannya ketika hendak duduk selepas membeli roti di sebuah sekolah menengah di Banting, Kuala Langat.

Tertuduh yang juga berusia 15 tahun didakwa di Mahkamah Telok Datok atas pertuduhan cubaan membunuh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan diperintahkan menjalani penilaian serta rawatan psikiatri selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top