Kerajaan rangka formula baharu OMV kenderaan CKD tempatan

Kerajaan rangka formula baharu OMV kenderaan CKD tempatan

Petaling Jaya: Kerajaan sedang membangunkan formula yang lebih adil bagi mengira nilai pasaran terbuka (OMV) atau harga kenderaan pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Mohd Shamsor Mohd Nor berkata pada ketika ini formula di bawah Perintah Kastam PU(A) 402/2019 serta Mekanisme Insentif Tersuai Baharu (NCM) belum dikuatkuasakan sehingga hujung tahun ini.

Menurut laporan berita sebelum ini, formula baharu itu sedang dibangunkan selepas pelaksanaan mekanisme berkenaan ditangguhkan bagi memberi masa kepada kerajaan mengadakan rundingan dengan pihak berkepentingan, mempermudah struktur cukai serta menangani peningkatan defisit perdagangan automotif.

Mohd Shamsor berkata penangguhan itu juga berkait dengan kaedah pengiraan yang masih diperhalusi memandangkan satu kaedah pengiraan tidak semestinya sesuai untuk semua pengeluar kenderaan.

“Kami mempunyai pengeluar peralatan asal (OE) yang mengendalikan perniagaan dengan cara berbeza, jadi satu kaedah pengiraan mungkin tidak sesuai untuk semua.

“Oleh itu, kami menyerahkan kepada kerajaan untuk merangka formula berkenaan. Namun, kami telah diberi jaminan bahawa kesannya adalah minimum atau tiada langsung, dan apabila formula itu dimuktamadkan, industri akan diberi tempoh yang mencukupi untuk melaksanakannya,” katanya pada sidang media hari ini.

Mengenai NCM, Mohd Shamsor berkata MAA telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta agensinya, yang disifatkan sebagai positif dan membina.

Beliau berkata hasil libat urus berterusan itu, industri diberikan tempoh tangguh tambahan selama enam bulan bagi pelaksanaan mekanisme berkenaan.

“Libat urus lanjut akan diteruskan dan kami berharap dapat mencapai kata sepakat supaya industri terus beroperasi secara mampan, di samping memenuhi objektif kerajaan untuk keseluruhan ekosistem automotif,” katanya.

OMV merujuk kepada anggaran nilai sesebuah kenderaan sebelum cukai dan duti dikenakan. Nilai itu menjadi asas pengiraan duti eksais dan seterusnya mempengaruhi harga runcit kenderaan pemasangan tempatan di Malaysia.

Sebelum ini dilaporkan bahawa rangka kerja insentif tersuai sedia ada kurang telus dan banyak bergantung kepada rundingan, justeru MITI kini sedang menambah baik mekanisme itu kepada sistem yang lebih ringkas dan berasaskan peraturan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top