Paris: Bekas juara dunia MotoGP, Fabio Quartararo, sah menyertai pasukan pengeluar Honda bermula musim 2027 selepas menandatangani kontrak selama dua tahun, umum pengeluar Jepun itu hari ini.
Pelumba Perancis berusia 27 tahun itu menyertai Yamaha pada 2019 dan menikmati tempoh paling cemerlang dalam kariernya apabila meraih 11 kemenangan serta 32 penamat podium.
Kemuncak kejayaannya hadir pada 2021 apabila dia muncul juara dunia MotoGP.
Quartararo akan meninggalkan Yamaha sebaik tamat musim 2026 dan ketika ini menghuni tangga ke-14 dalam kedudukan keseluruhan pelumba.
“Honda Racing Corporation (HRC) dengan sukacitanya mengumumkan Fabio Quartararo menyertai kami bagi menghadapi Kejuaraan Dunia MotoGP musim 2027 dan 2028.
“Quartararo akan beraksi bersama pasukan kilang Honda HRC ketika MotoGP memasuki era baharu enjin 850cc bermula musim 2027,” kata Honda dalam satu kenyataan.
Perpindahan itu dilihat sebagai usaha Honda mengembalikan kegemilangan pasukan selepas beberapa musim bergelut untuk bersaing di kelompok hadapan, manakala Quartararo pula berharap dapat menghidupkan semula kariernya bersama pengeluar yang pernah mendominasi saingan MotoGP.
© New Straits Times Press (M) Bhd




