DAMANSARA – Seramai 3,000 pemandu kenderaan e-hailing Lembah Klang bakal menerima manfaat e-baucar pakej servis Castrol MAGNATEC bernilai RM80, selepas melengkapkan 8,000 kilometer perjalanan yang disahkan menerusi fasa pertama Program e-Hailing Heroes dilancarkan Castrol Malaysia.
Pakej bekenaan merangkumi minyak enjin, penapis minyak serta kos upah yang boleh ditebus di bengkel Castrol Auto Service yang mengambil bahagian.
Inisiatif selama 12 bulan itu, dilaksanakan dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM), bagi membantu pemandu e-hailing mengurus kos penyelenggaraan kenderaan, di samping menyokong perjalanan penumpang yang lebih lancar dan boleh dipercayai sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Pengarah Pemasaran Castrol Malaysia, Singapura dan Filipina, Gan Wee Kiong berkata, program tersebut mencerminkan komitmen pihaknya untuk menyokong komuniti e-hailing melalui cara yang benar-benar memberi manfaat.
Menurutnya, bagi pemandu e-hailing, kenderaan bukan sekadar alat pengangkutan, sebaliknya merupakan tempat kerja, sumber pendapatan dan platform untuk memberikan perkhidmatan kepada penumpang setiap hari.
“Kami memilih Castrol MAGNATEC atas sebab yang jelas. Pemandu e-hailing menghabiskan berjam-jam memandu dalam trafik bandar dan keadaan pemanduan yang mencabar.

Gimik pelancaran Castrol Malaysia program eHailing Heroes disempurnakan oleh Pengarah Kanan Pengiklanan dan Digital Tourism Malaysia merangkap Ketua Sekretariat Tahun Melawat Malaysia 2026, Mohd Akbal Setia (tiga kiri belakang) dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) pada Selasa. FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR.
“Castrol MAGNATEC dibangunkan berasaskan konsep ‘perlindungan tanpa henti setiap kali enjin dihidupkan’ yang benar-benar memenuhi realiti pemanduan e-hailing yang melibatkan operasi berhenti dan bergerak secara berulang, waktu bekerja yang panjang, pengambilan dan penghantaran penumpang, kesesakan lalu lintas, enjin melahu serta jarak perjalanan yang tinggi.
“Menerusi eHailing Heroes, kami memanfaatkan teknologi produk dan rangkaian perkhidmatan kami untuk membantu pemandu mengurangkan tekanan kos penyelenggaraan, memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik serta membolehkan mereka terus menjana pendapatan dengan lebih yakin,” katanya ketika berucap sempena Pelancaran Program eHailing Heroes, di sini, pada Selasa.
Pelancaran program tersebut disempurnakan oleh Pengarah Kanan Pengiklanan dan Digital Tourism Malaysia merangkap Ketua Sekretariat Tahun Melawat Malaysia 2026, Mohd Akbal Setia.
Hadir sama, Presiden Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM), Ajit Johl.
Dalam pada itu, Wee Kiong berkata, pihaknya percaya komuniti pemandu e-hailing bukan sahaja wajar diberikan penghargaan, malah sokongan yang benar-benar praktikal.
Justeru, bagi memperkukuh usaha tersebut, Castrol menawarkan diskaun 10 peratus untuk keseluruhan rangkaian minyak enjin kenderaan e-hailing.
“Bagi ramai pelancong, pemandu e-hailing merupakan antara individu pertama yang mereka temui sebaik tiba di Malaysia. Pengalaman sepanjang perjalanan, layanan yang diberikan serta kebolehpercayaan perkhidmatan mereka membantu membentuk tanggapan pertama pelawat terhadap negara kita.
“Ini sebahagian usaha kecil bagi membantu lebih ramai pemilik kenderaan memastikan kenderaan mereka sentiasa berada dalam keadaan terbaik untuk setiap perjalanan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Akbal berkata, pihaknya menghargai insiaitif daripada Castrol Malaysia seiring dengan VM2026 yang menyaksikan pelbagai aktiviti dan acara pelancongan dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak.
Katanya, menerusi program tersebut, pemandu e-hailing menerima sokongan penjagaan kenderaan yang praktikal dan membantu mereka menawarkan pemanduan lancar, selamat dan dipercayai.
“Jadi saya harap pemandu-pemandu e-hailing mendapat manfaat daripada acara-acara pelancongan yang dirancang dan dilaksanakan.
“Pelancong bergantung kepada pemandu untuk dapat pengalaman terbaik. Jadi dengan manfaat program ini, semua pelancong dapat menikmati perjalanan yang lebih selamat dan akhirnya memberi manfaat kepada industri,” katanya.



