Yamal bikin Paredes panas hati

Yamal bikin Paredes panas hati

Madrid: Lamine Yamal menyindir Leandro Paredes secara sinis ketika perarakan kemenangan Sepanyol selepas Piala Dunia.

Wakil Eropah itu meraih gelaran dunia kedua mereka selepas menewaskan pasukan Amerika Selatan yang dianggap bermain kasar, Argentina, 1-0 di New Jersey, awal pagi Isnin lalu.

Paredes antara pemain yang paling sukar menerima kekalahan selepas wisel penamat apabila dia melepaskan kemarahannya terhadap pemain-pemain Sepanyol yang sedang meraikan kemenangan.

Pemain tengah Argentina itu dilihat menjatuhkan Gavi ke padang dalam keadaan berang selepas kekalahan terbabit.

Paredes turut bertelagah dengan bekas pertahanan Manchester City, Eric Garcia sehingga mencemari suasana selepas perlawanan.

Tindakan ganas dan kurang berdisiplin daripada Paredes serta rakan sepasukannya menyebabkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membuka siasatan terhadap insiden memalukan itu.

Pemain-pemain Sepanyol bagaimanapun sudah melupakan insiden yang tidak sepatutnya berlaku dalam final Piala Dunia dan memberi tumpuan kepada sambutan kejuaraan mereka.

Pasukan itu disambut kembali di ibu negara Madrid dengan kira-kira dua juta penyokong hadir meraikan kejayaan terbabit.

Yamal adalah antara pemain yang menyertai perarakan menggunakan bas terbuka di sekitar bandar itu.

Pada satu ketika, dia dilihat tersenyum lebar sambil memegang papan tanda yang tertera tulisan ‘Velada del Ano VII: Paredes vs Gav.’

Velada del Ano ialah acara tinju yang hampir sama seperti Misfits di United Kingdom (UK).

Papan tanda itu jelas merujuk kepada pertelingkahan antara Paredes dan Gavi di atas padang selepas kemenangan Sepanyol disahkan.

Tingkah laku pemain Argentina itu pada penghujung perlawanan berprestij itu menerima kecaman meluas daripada banyak pengulas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top