Bahagia dengan lakonan, fokus pada bisnes

Bahagia dengan lakonan, fokus pada bisnes

mohamadridzuan@hmetro.com.my

DARIPADA lakonan, cinta Dayang Areeda kini lebih bertumpu kepada bidang perniagaan diusahakan bersama Hazeeq Dean sejak Januari lalu.

Bagaimanapun bukan bermakna Dayang atau nama sebenarnya, Dayang Areeda Datu Abdul Razak, 32, terus menjauhkan diri daripada bidang yang diceburinya sejak 2014 itu.

“Saya masih berlakon macam dulu. Sekarang pun sedang rancak shooting untuk drama 12 episod terbitan produksi OrangeTree bersama Zara Zya dan MK.

“Itulah satu-satunya yang saya buat sekarang, selain tunggu drama-drama lakonan saya yang lain ditayangkan di televisyen. Alhamdulillah masih ada lagi tawaran.

“Selebihnya, saya sibuk dengan bisnes cafe Cookiee Cafe & Florist yang dibuka sejak Januari lalu. Memang sangat sibuk kerana kami masih dalam proses ‘branding’ kedai ini kepada orang ramai,” katanya.

Pelakon yang dikenali menerusi drama Kekasih Paksa Rela ini berkata, dia banyak menyertai festival jualan makanan yang memerlukan perhatian penuh.

“Cafe kami menjual makanan dan bunga. Konsepnya makan sambil lepak santai dan di situ juga menjual bunga. Alhamdulillah sambutan sangat bagus.

“Sekarang ini kami tengah bangunkan jenamanya agar semua orang tahu dan nama cafe ini dekat di hati mereka. Apabila masuk festival makanan, lagilah orang kenal.

“Tapi pada masa sama, saya tetap juga terima tawaran berlakon sikit-sikit. Sekarang alhamdulillah kedai pun dah okey, itu yang saya nak mula berlakon balik,” katanya.

Dayang berkata, sebelum ini dia sudah mempunyai cafe di kawasan Taman Melawati tetapi saiznya agak kecil berbanding lokasi sekarang Jalan Pekeliling Lama, Titiwangsa.

“Cafe itu kecil sangat macam orang tak boleh masuk ramai. Lepas itu saya kenal dengan Hazeeq yang buat bunga. Jadi tercetus idea, mengapa tidak kami gabungkan cafe dan bunga.

“Syukur perancangan ini menjadi dan kami gembira dengan apa yang dikecapi sekarang. Usaha ini membuahkan hasil yang baik untuk kami.

“Tak dinafikan hidup saya sekarang orang kata tengah bahagia dengan lakonan dan pada masa sama fokus pada bisnes yang sedang berkembang baik,” katanya.

Sebagaimana mekarnya bisnes yang dijalankan, Cookiee Cafe & Florist, juga menemukan cinta Dayang dan Hazeeq, 29, pelakon Projek: High Council yang kini dalam fasa bahagia.

“Sebenarnya sebelum ini saya jarang kongsi berkenaan kisah peribadi bercinta dengan siapa dan sebagainya dengan masyarakat. Saya lebih suka simpan sendiri.

“Tapi untuk kali ini, saya rasa dah bersedia dan saya betul-betul serius dengan ‘relationship’ ini. Saya akui kami kini sedang bercinta dan melalui saat-saat bahagia.

“Kami pun dah dua tahun berkawan. Kiranya Hazeeq adalah pasangan bisnes merangkap pasangan hidup saya. Dah tentu kami ada perancangan untuk jauh ke depan.

“Cuma bila masanya untuk kami berkahwin itu belum tahu lagilah. Yang pasti kami memang berhasrat ke arah itu. Jadi untuk masa ini, langkah pertama kami adalah mempunyai bisnes bersama.

“Kami buat benda-benda yang ke arah masa depan. Kiranya kami buat perancangan awal. Macam bisnes ini, kami banyak luangkan masa bersama untuk lebih kenal sesama sendiri.

“Kami berjumpa setiap hari untuk berbincang pasal kerja. Malah kadang-kadang saya rasa macam kami ini bercinta sebab kerja atau sebab lain?

“Kadang-kadang terasa juga yang kami tak banyak luangkan masa untuk ‘dating’ berdua di tempat lain kecuali di cafe. Setiap hari memang di situ tempatnya,” kata Dayang.

Menurutnya, dia sudah bertemu keluarga Hazeeq dan jejaka itu juga sudah bertemu keluarganya dan penerimaan masing-masing sangat baik.

“Alhamdulillah… tipulah dalam bekerja kami tak pernah ada konflik atau tak sependapat tapi ia perkara biasa dan tipulah kalau nak kata 24 jam bahagia tanpa gaduh.

“Syukur tiada isu besar yang boleh jejaskan hubungan kami berdua. Begitu juga dengan lakonan. Tiada halangan untuk kami berlakon dengan sesiapa sahaja,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top