Tun Faisal bertanding DUN Sikamat sebagai bukan pilihan

Tun Faisal bertanding DUN Sikamat sebagai bukan pilihan

SEREMBAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan turun sebagai bukan pilihan dalam persaingan tiga penjuru bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.

Calonnya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, pendirian itu membolehkan Bersatu bergerak dalam lingkungan tersendiri berbanding dua pesaing yang mempunyai nama besar iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Beliau yang juga Ketua Penerangan Bersatu berkata, parti itu menyertai PRN Negeri Sembilan dengan logo sendiri berbanding imej sebagai parti dari PN yang menjadi identiti Bersatu selama ini.

“Memang agak mencabar sikit sebab sebelum ini kita buat kerja menggunakan logo PN. Jadi, orang sudah biasa.

“Seperti di Sikamat ini, kerusi ditandingi oleh Bersatu melalui PN sebelum ini tetapi kalah. Dan banyak tempat dalam Negeri Sembilan pun sama,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kerusi DUN Sikamat sebelum ini disandang oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dari PH. Beliau meraih majoriti 2,662 undi dalam PRN 2023.

Dalam PRN kali ini, kerusi tersebut menyaksikan persaingan tiga penjuru oleh calon Bersatu, Tun Faisal; Nor Azman Mohamad (PH) dan Datuk Razali Abu Samah (PN).

Mengenai peluang Bersatu dalam PRN negeri ini, Tun Faisal memberitahu, langkah meletakkan 24 calon dalam PRN kali ini menunjukkan komitmen serius parti itu menawarkan pilihan kepada rakyat di negeri ini .

“Ada yang nampak Bersatu sebagai langkah positif. Maksudnya, sudah terpisah daripada kekangan yang lama. Bagi bukan Melayu rasanya lebih mudah.

“Daripada segi kaum Melayu, dia terpaksa memilih sama ada logo atau calon yang ditawarkan,” ujarnya.

Beliau berkata, ukuran sebenar penerimaan para pengundi dijangka dapat diketahui dalam beberapa hari lagi apabila aktiviti kempen dilakukan secara meluas. – UTUSAN

Scroll to Top